MUHAMMAD Ibrahim letak jawatan gabenor Bank Negara kerana tidak mahu integritinya dipersoalkan, dan demi melindungi imej serta reputasi bank pusat itu.
Dalam kenyataan kepada Bernama, Muhammad berkata, semasa mula menerima jawatan itu pada Mei 2016, beliau berikrar akan melaksanakan tanggungjawab jawatannya sebagai Gabenor dengan “profesionalisme, integriti dan maruah yang tinggi.”
Namun sejak kebelakangan ini, beberapa keputusan Bank Negara Malaysia, terutamanya melibatkan pembelian sebidang tanah dari Kementerian Kewangan yang dikatakan melebihi harga pasaran, dipersoalkan secara terbuka, dan ini menjejaskan integriti beliau dan bank.
“Saya sedia melepaskan jawatan saya sekiranya saya tidak lagi dipercayai dan tidak mendapat sokongan umum. Saya tidak boleh secara sedar terus memegang jawatan sekiranya ia menjejaskan imej dan reputasi bank,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Bernama.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan kerajaan menerima surat perletakan jawatan Muhammad, namun tidak menyatakan alasan yang diberikan oleh gabenor itu.
Dr Mahathir sebaliknya hanya berkata pengganti Muhammad belum boleh dinamakan kerana menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Muhammad menafikan sebidang tanah dekat Sasana Kijang di Bukit Perdana, Kuala Lumpur itu dibeli dengan niat untuk bersubahat dengan penyelewengan dana awam terkait skandal 1Malaysia Development Berhad.
“Itu tidak betul semuanya,” katanya, mengingatkan yang Bank Negara tidak akan bersekongkol dengan sebarang aktiviti yang mengkhianati amanah rakyat.
“Kita jelek dengan sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.”
Orang mungkin skeptikal, katanya, tetapi pihaknya sama sekali tidak tahu dan tidak boleh kawal kalau duit hasil jualan tanah itu digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Katanya, tidak masuk akal untuk Bank Negara mengaitkan diri dengan syarikat pelaburan kontroversi yang bergelumang tuduhan menipu dan salah pengurusan, malah sudah mengambil tindakan terhadapnya sebelum ini.
Beliau merujuk kepada denda dan kompoun yang dikeluarkan oleh Bank Negara ke atas 1MDB pada April 2016, yang memaksa syarikat itu menghantar balik wang yang dikirimkan ke luar negara sebelum ini.
Menurut Muhammad, skandal 1MDB sudah banyak merugikan negara dan beliau sendiri, sebagai warga Malaysia, rasa sangat marah atas apa yang berlaku. Namun beliau faham apa saja yang terkait dengan 1MDB, seperti dakwaan urus niaga tanah itu, akan jadi perhatian rakyat.
“Keutamaan saya sekarang ialah untuk Bank bergerak maju dan terus melaksanakan mandatnya berkhidmat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Mengenai tanah dekat Sasana Kijang itu, Muhammad berkata pembelian tanah itu dibuat berasaskan penilaian penilai profesional yang bebas, untuk membina pusat latihan kewangan.
Beliau memberi jaminan seluruh urus niaga tanah itu dibuat secara teratur dan melalui perbincangan beberapa mesyuarat ahli lembaga pengarah.
“Kita malah sudah mencadangkan kepada kerajaan agar tanah itu dijual mengikut tender awam, yang akan disertai oleh pihak bank bersama pihak lain yang berminat,” katanya, yang menjelaskan pembelian itu sudah dibuat dengan telus.
Dalam mesejnya kepada warga Bank Negara, Muhammad meminta mereka bersatu sebagai sebuah institusi menyahut cabaran perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.
“Rakyat mengharapkan hanya dedikasi dan komitmen daripada kita,” katanya.
“Institusi ini lebih besar daripada mana-mana individu,” tambahnya, sambil menyeru mereka mengambil iktibar daripada episod ini.
Beberapa nama calon pengganti Muhammad yang disebut-sebut termasuk bekas timbalan gabenor, Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Sukhdev Singh. – 6 Jun, 2018.
Komen