KERTAS siasatan ke atas Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz, telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 21 Oktober, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.
“AGC telah mengarahkan polis untuk menyiasat semula beberapa perkara,” kata ahli Parlimen Kuala Krau itu kepada Dewan Rakyat semasa ucapan penggulungan Kementerian Dalam Negeri mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (peringkat jawatankuasa) hari ini.
Persoalan itu dibangkitkan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) semasa perbahasan bajet kementerian bagi 2022.
Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan masih menyediakan pengiring polis dan pengawal peribadi untuk bekas perdana menteri Najib Razak (BN-Pekan).
“Beliau masih dalam proses merayu, bukan?” kata Ismail kepada Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bertanya sama ada Najib masih ada pengiring polis dan berapa kosnya.
Najib, yang disabitkan kesalahan rasuah tahun lepas, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan semalam.
Pada Mac lepas, polis mula menyiasat Tawfiq selepas beliau dilaporkan menerima dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam akaun bank Singapuranya.
Dilaporkan polis Singapura telah memaklumkan Bank Negara Malaysia mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, kepada sebuah syarikat yang didakwa dimiliki oleh suami dan anak Zeti pada 2015.
Ketika itu Zeti masih memegang jawatan gabenor BNM.
Menurut laporan itu, dokumen yang dikongsi oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) kepada Malaysia menunjukkan akaun sebuah syarikat bernama Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkait dengan Jho Low.
Selain itu, CAD Singapura turut melaporkan dua lagi transaksi daripada Jho Low kepada Iron Rhapsody, dianggarkan berjumlah AS$567,000 pada 1 Jun 2009 dan AS$1.25 juta pada 18 Disember 2009.
Tawfiq dilaporkan berkata beliau telah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan sejumlah RM13.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM3.5 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan untuk Kementerian Dalam Negeri. – 9 Disember, 2021.
Komen