
PERBAHASAN Rang Undang Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan (IPCC) ditangguhkan ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Usul menangguhkan perbahasan itu dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.
“Menurut Peraturan Mesyuarat 62, DR 12/2020 seperti yang tertera di nombor lima dalam aturan mesyuarat dan usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga, dan dibawa ke mesyuarat akan datang,” katanya.
RUU IPCC dibentangkan menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditarik balik semalam.
RUU IPCMC dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 18 Julai tahun lalu.
Bagaimanapun ia mendapat bantahan pembangkang yang terdiri daripada Barisan Nasional PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menyatakan mereka tidak akan menyokong RUU IPCMC.
Ia juga mendapat tentangan dari pihak polis yang tidak senang kerana diberi kuasa untuk mendisiplinkan anggota.
IPCC juga tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap polis yang didapati melakukan salah laku.
RUU baru ini mengekalkan sebahagian besar peruntukan dalam RUU IPCMC, namun Seksyen 31 (3) yang akan memberi kuasa kepada IPCC untuk menubuhkan jawatankuasa disiplin bagi mendengar aduan dikecualikan.
Turut dimansuhkan adalah Seksyen 31 (4), yang membenarkan ketua setiausaha kerajaan menubuhkan jawatankuasa disiplin khas untuk menangani aduan terhadap ketua polis negara. – 27 Ogos, 2020.
Komen