Ismail Sabri pilih jalan selamat 100 hari pertama jadi PM


Chan Kok Leong

Ismail Sabri Yaakob selalu memilih jalan selamat dan jarang bertembung dengan pemimpin Umno lain, baik dalam kerajaan mahupun parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob tidak pernah dikenali sebagai tokoh yang kontroversi, tidak seperti beberapa perdana menteri sebelumnya.

Semasa menjadi menteri, pernah beberapa kali beliau terjebak dalam kontroversi yang melibatkan soal perkauman, misalnya, cadangan beliau supaya pengguna memulau peniaga Cina pada 2015 dan kemudian memperkenalkan pusat perniagaan barangan komputer Melayu sebagai lawan kepada Plaza Lowyat.

Namun keseluruhannya, baik dalam kerajaan mahupun parti, ahli Parlimen Bera ini selalu memilih jalan selamat dan jarang bertembung dengan pemimpin Umno lain.

Hanya sekali beliau pernah bertembung dengan kepimpinan Umno, ketika mengetuai 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri 10 hari sebelum presiden Bersatu itu letak jawatan.

Sama ada langkah itu dipelan dengan baik atau tidak, Ismail Sabri akhirnya diangkat sebagai perdana menteri pada 21 Ogos apabila 114 daripada 220 anggota Dewan Rakyat memberi kepercayaan kepadanya untuk dilantik perdana menteri.

Seratus hari kemudian, Ismail Sabri tetaplah seperti itu dalam gaya yang tidak mendatangkan masalah kepadanya selama hampir tiga dekad dalam politik.

Beliau berhati-hati mengelak kontroversi apabila setakat ini hanya memberikan ucapan rasmi dan tiga kali berhadapan dengan media.

Ismail Sabri memberikan wawancara pertama pada 3 Oktober, mengadakan sidang media khas pada 9 Oktober ketika beliau mengumumkan kelonggaran sekatan perjalanan, dan baru-baru ini selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 29 November.

Beliau jarang hadir di Parlimen dan dengan itu mengelak terlibat dalam pertikaian politik.

Ketiadaannya dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, Selasa lepas. Walaupun semua tiga pertanyaan menteri ditujukan kepada Ismail Sabri, tugas menjawab diserahkan kepada menteri lain di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya pernah ke Dewan Rakyat di Britain, yang ada sidang khas dengan perdana menteri setiap minggu.

Tetapi kehadiran Ismail Sabri ke Parlimen sangat tidak memuaskan,” kata Hassan kepada The Malaysian Insight.

Hassan juga menarik perhatian bagaimana soalan penting mengenai harga makanan yang dibangkitkan oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim tinggal tidak berjawab.

Main selamat

Ismail Sabri berpeluang untuk menonjolkan kepimpinannya semasa membentuk jemaah menteri.

Namun beliau memilih jalan selamat dengan mengekalkan sebahagian besarbarisan menteri dan timbalan menteri sebelum itu dengan sedikit ubah suai. Antara yang dikekalkan termasuk beberapa menteri yang dikritik hebat.

Untuk mengelak ditimpa nasib seperti Muhyiddin, beliau terpaksa memuaskan hati semua orang daripada BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau juga melantik dua penasihat dan dilaporkan akan melantik penasihat yang ketiga. Tujuannya barangkali untuk membendung sebarang penentangan dari dalam.

Musuh dari luar

Ismail Sabri juga menyekat penentangan dari luar dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

MoU itu dapat melindungi dengan sementara kedudukannya sebagai ganti untuk kerajaan melaksanakan beberapa pembaharuan dan memberikan dana yang sama rata kepada ahli Parlimen.

Hassan daripada PKR bagaimanapun merasakan tidak banyak kemajuan daripada MoU itu, sejak ia dimeterai pada 13 September lalu.

“Perbahasan yang bermakna masih kurang di Parlimen. Apabila pembangkang mahu membahaskan Pandora Papers dan kenaikan harga makanan, ia ditolak atau dipindahkan ke kamar khas.

“Walaupun ada beberapa jawatankuasa khas baharu, yang berjalan hanya satu iaitu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” katanya.

Pensyarah politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Lau Zhe Wei juga tidak teruja dengan MoU itu.

“Beliau boleh buat banyak benda dengan MoU itu tetapi nampaknya beliau terikat dengan pertimbangan politik di tengah pandemik yang kritikal ini,” katanya.

Lau menyebut contoh dana bantuan ahli Parlimen. Katanya, jika mahu dilihat adil, Ismail Sabri sepatutnya memberi peruntukan itu kepada semua ahli Parlimen pembangkang tidak kira sama ada mereka terlibat dengan MoU atau tidak. 

Dari segi dasar juga Ismail Sabri memilih jalan selamat dengan cuba sedaya mungkin memuaskan kehendak Bumiputera, termasuk dasarnya mengenai kuota Bumiputera di pusat membeli belah.

“Ini mungkin selama tetapi dari segi pentadbiran atau kecekapan, ia akan gagal kerana bertentangan dengan peruntukan berdasarkan keperluan. Peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan, untuk kakitangan awam dan sebagainya adalah amalan yang konvensional tetapi ini tidak mendesak seperti pengurusan pandemik.

“Pendek kata belanjawan itu sendiri selamat dari segi politik tetapi ia belanjawan yang mengecewakan. Tidak padan dengan keperluan pemulihan pandemik,” katanya.

Selamatkah Ismail Sabri?

Tetapi sejauh mana selamatnya Ismail Sabri dengan dasarnya yang memihak kepada Melayu dan MoU yang melindunginya daripada tekanan politik?

Seorang pemimpin Umno, yang enggan namanya disebut, berkata parti masih curiga dengan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Ada yang percaya beliau masih bersama dengan pemimpin Bersatu walaupun Umno sudah tolak kerjasama dengan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight, selepas BN menang besar pilihan raya negeri Melaka bulan lepas.

Beliau mendakwa Ismail Sabri mahu melengahkan pilihan raya umum sehingga 2023, sehingga mandat Parlimen berakhir.

Beberapa pemimpin Umno termasuk presiden Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mendesak PRU15 diadakan segera awal tahun depan.

Umno percaya pilihan raya lebih awal akan memudahkan jalannya untuk kembali berkuasa.

Ismail Sabri dan pegawainya tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara ini.

“Beliau juga membuat beberapa pelantikan kabinet yang bertentangan dengan kehendak parti,” tambah pemimpin Umno itu.

Langkah Sheraton tahun lalu, yang menyebabkan pertukaran kerajaan persekutuan dan beberapa negeri, dimulakan oleh anggota kerajaan yang melompat parti.

Di Perak dan Melaka, serta pertukaran pentadbiran di Putrajaya dengan jatuhnya Muhyiddin, dimulakan oleh wakil rakyat Umno.

Biarpun memilih jalan selamat, adakah Ismail Sabri akan selamat sehingga 2023? – 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen