KERAJAAN membelanjakan RM150,000 setiap bulan untuk mengekalkan tiga penasihat khas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad.
“Kos bulanan bagi setiap pejabat penasihat khas mencecah RM50,000 setiap satu. Ini termasuk gaji dan emolumen untuk penasihat khas serta pegawainya,” kata ahli Parlimen Mersing itu dalam jawapan bertulis kepada Parlimen semalam.
Beliau berkata pegawai berkenaan adalah mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan dengan skop tugas mereka.
Menurut Latiff tiga peranan penasihat khas adalah untuk undang-undang dan hak asasi manusia, agama dan kesihatan.
Tambahnya kerajaan masih dalam proses melantik penasihat khas kesihatan itu.
Pada 2 Oktober lepas Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dilantik sebagai penasihat khas bagi undang-undang dan hak asasi manusia manakala bekas menteri hal ehwal agama Jamil Khir Baharom dilantik sebagai penasihat khas agama awal minggu ini.
Latiff menjawab soalan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu-Pejuang) yang mempersoalkan jumlah penasihat khas perdana menteri dan kos yang terlibat. – Bernama, 2 Disember, 2021.
Komen