SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) memberi amaran kepada Putrajaya ia akan mengadakan protes di jalan raya jika harga barang tidak distabilkan.
Dalam satu kenyataan, SSR menggesa kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakobb mengambil langkah paling segera untuk memberi bantuan kepada rakyat dengan menurunkan harga barang makanan.
Minggu lalu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata terdapat kenaikan harga sayur sehingga dua kali ganda dalam tempoh dua minggu sebelum itu.
Mohideen menyebut antaranya sawi pendek yang sebelum ini RM3 tetapi sekarang RM9.
Kobis bunga juga naik daripada RM7 kepada RM16, sementara cili merah sebelum ini RM13 naik menjadi RM19 dan cili hijau daripada RM10 kepada RM14.
SSR berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi mengajak orang ramai turun ke jalan raya jika kerajaan tidak buat apa-apa untuk kurangkan harga.
“Rakyat kehilangan kerja pada masa ini, anak-anak berhadapan kesukaran mengikuti proses pembelajaran dalam talian, risiko jangkitan Covid-19 yang masih belum turun, ahli keluarga terpisah lama kerana penutupan sempadan…
“Apa yang kita dengar dari pihak atasan adalah tentang orang politik yang masih sibuk mengagihkan harta negara dengan mewujudkan jawatan-jawatan tidak perlu dalam pentadbiran, yang gajinya bukan sedikit sedang masih ramai yang mengais pagi dan petang mencari kerja,” kata SSR dalam satu kenyataan hari ini.
Ini bukan kali pertama SSR mengancam untuk menggerakkan sesuatu isu. Gerakan ini adalah tulan belakang untuk beberapa siri protes bendera hitam tahun ini.
Pada 31 Julai, di bawah #Lawan, ia menarik lebih 2,000 orang ramai ke Dataran Merdeka untuk menuntut perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin letak jawatan, buka semula Parlimen selain menuntut moratorium pinjaman untuk meringankan beban kewangan disebabkan pandemik.
Sebelum itu, bantahan turut diadakan di Dataran Merdeka pada 17 Julai berhubung cara kerajaan tangani pandemik, di mana golongan belia membawa bendera hitam dan mempamerkan replika mayat mewakili kematian Covid-19.
Satu lagi bantahan diadakan pada 24 Julai, dalam bentuk konvoi kenderaan di beberapa negeri di mana peserta memasang bendera hitam pada kenderaan mereka untuk membantah kerajaan.
Penunjuk perasaan kembali ke Dataran Merdeka sekali lagi pada 19 Ogos, di mana mereka mengadakan upacara memperingati kematian Covid-19, mengecam cara kerajaan menangani pandemik.
Polis menahan 31 orang ketika itu, mengenakan kompaun RM2,000 setiap seorang. Dana telah dikumpulkan daripada orang ramai untuk membantu mereka membayar denda. – 7 Disember, 2021.
Komen