3 ditangkap ketika Konvoi #lawan, kata penganjur


Alfian Z.M. Tahir

Sekretariat Solidariti Rakyat mendakwa polis telah mengganggu dan menakut-nakutkan para peserta malah menghalang mereka meneruskan tunjuk perasaan yang sepatutnya diadakan dari pukul 11 ​​pagi hingga 5 petang. – Gambar Twitter, 24 Julai, 2021.

POLIS telah mengganggu tunjuk perasaan Konvoi #lawan di beberapa tempat selain menahan tiga individu tanpa alasan kukuh dalam protes secara aman itu, kata penganjur Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) hari ini.

SSR mendakwa polis telah mengganggu dan menakut-nakutkan para peserta malah menghalang mereka meneruskan tunjuk perasaan yang sepatutnya diadakan dari pukul 11 ​​pagi hingga 5 petang.

Tunjuk perasaan itu melibatkan peserta memprotes dengan mengibarkan bendera hitam dari dalam kenderaan, menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin letak jawatan, sidang penuh Parlimen dan moratorium pinjaman bank untuk semua.

“Konvoi telah diganggu oleh polis di Cyberjaya, Manjung (Perak), Melaka, Quayside Mall (Kuala Langat), Kuching (Sarawak) dan Temerloh (Pahang).

“Walaupun konvoi yang dilakukan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) seperti berada di dalam kenderaan, tidak berhimpun dan menaiki kenderaan dengan bilangan orang yang ditetapkan, ada peserta yang dihalang dan tidak dibenarkan untuk meneruskan konvoi oleh pihak berkuasa.

“Kami berpendapat bahawa pihak polis tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menghentikan kereta yang mengibarkan bendera hitam melainkan ianya satu tekanan terhadap kebebasan rakyat untuk bersuara dan berekspresi,” kata SSR dalam satu kenyataan petang ini.

Konvoi #lawan itu melibatkan peserta memprotes dengan mengibarkan bendera hitam dari dalam kenderaan, menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin letak jawatan, sidang penuh Parlimen dan moratorium pinjaman bank untuk semua. – Gambar Twitter, 24 Julai, 2021.

Tambah SSR, tiga individu itu ditangkap di Temerloh, Pahang, menambah bantuan guaman akan segera diberikan kepada mereka yang terlibat.

“Bantuan dari sudut guaman akan segera diberikan kepada mereka yang terlibat.

“Tindakan ini adalah satu ugutan dan kami anggap ini adalah arahan daripada menteri yang pekak dan buta melihat kesengsaraan rakyat tetapi rakus membungkam suara rakyat yang merintih.”

Kumpulan itu menganggarkan lebih 100 buah kenderaan menyertai tunjuk perasaan itu, malah jumlahnya mungkin lebih besar jika tidak diganggu polis.

“Pihak SSR tidak akan berganjak dengan pendirian kami bahawa kerajaan ini adalah #KerajaanGagal dan akan terus menggemakan tiga tuntutan kami pada 31 Julai ini. 

“Kami menyeru rakyat Malaysia agar bersiap sedia untuk turun dan protes kegagalan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin. Kita patuhi SOP dan kita Keluar dan #Lawan,“kata mereka. – 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen