SPR gagal merancang, ribuan rakyat Sarawak terlepas mengundi, kata presiden UPKO


KEGAGALAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merancang akan menyebabkan ribuan pengundi Sarawak di luar Sarawak tidak boleh mengundi, kata Wilfred Madius Tangau hari ini.

Presiden UPKO itu berkata selain kos penerbangan untuk pulang mengundi yang tinggi, terdapat juga isu kekurangan kemudahan pengundi tidak hadir bagi pilihan raya bahagian lain di negara ini.

Beliau mempersoalkan SPR kerana gagal merancang lebih awal sejak 21 bulan lalu.

“Jadi kenapa SPR tidur sejak 21 bulan lalu? Bila mereka akan bangun?” katanya dalam satu kenyataan.

“Apabila kita menuntut undi tidak hadir untuk pilihan raya negeri Sabah September lalu, SPR berkata ia belum bersedia.

“Adakah ia bersedia untuk PRU15? Atau, patutkah rakyat Sarawak dan Sabah hanya mengharapkan undi diaspora mereka akan ditindas selama-lamanya?”

Katanya, semasa pilihan raya Indonesia, pengundi Indonesia yang bekerja di Malaysia boleh beratur dan mengundi di kedutaan Indonesia.

“Mengapa kita tidak boleh mempunyai pusat pengundian awal di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu di mana diaspora Sarawak kebanyakannya berdomisil, supaya saudara-saudari Sarawak kita hanya boleh beratur dan mengundi beberapa hari lebih awal sebelum 18 Disember?”

Beliau menuntut hak pengundi tidak hadir diperkenalkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 supaya rakyat Sarawak dan Sabah yang berpangkalan di luar negeri masing-masing tidak perlu membuat pilihan antara undi atau wang mereka.

“Mengikut anggaran, sekurang-kurangnya 250,000 daripada 1,252,014 pengundi Sarawak menetap di Semenanjung, Sabah dan Labuan,” katanya.

“Ini bermakna satu daripada setiap lima pengundi Sarawak dijangka terbang pulang sebelum 18 Disember untuk mengundi, hanya seminggu sebelum Krismas, atau melepaskan hak untuk mereka tentukan masa depan wilayah asal mereka bagi lima tahun akan datang.

“Bolehkah bayangkan saiz 250,000 pengundi? Jika mereka dihantar menggunakan Airbus A320 dengan 160 penumpang, itu akan mengambil 1,560 penerbangan sehala,” tambahnya. – 6 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mungkinkah ia satu muslihat yang dirancang untuk menyusahpayahkan pengundi hadir mengundi?

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan