KETUA Menteri Sabah Musa Aman hari ini menolak tuntutan terbaru Filipina mengatakan Sabah milik negara itu.
Musa berkata Sabah telah menjadi sebahagian dari Malaysia sejak penubuhan persekutuan pada 16 September, 1963.
“Saya telah menyatakan pendirian kami mengenainya sebelum ini. Biar saya jelaskan sekali lagi yang kami tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina atau mana-mana negara ke atas Sabah,” kata Musa dalma satu kenyataan hari ini.
Menurut Musa, rakyat Sabah akan memilih untuk kekal di dalam Malaysia kerana kemakmuran ekonomi , kestabilan dan keamanan.
Terdahulu, Menteri Luar Anifah Aman berkata Malaysia tidak mengiktiraf dan melayan tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa telahpun mengiktiraf Sebah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan persekutuan pada 16 September 1963.
Anifah berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina Aquilino Pimentel seperti dilaporkan ABS-CBN News Filipina.
Bekas senator Aquilino Pimentel berkata kerajaan Filipina mesti mencari jalan untuk menuntut Sabah melalui cara yang diterima undang-undang antarabangsa.
Cadangannya termasuk memasukkan Sabah sebagai negeri persekutuan ke-13.
Ini bukan kali pertama rakyat Sabah berketurunan Filipina mendengar tuntutan itu. Presiden Filipina Rodrigo Duterte sebelum ini telah berjanji kepada rakyatnya untuk menuntut Sabah semasa pilihan raya 2016 negara itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah Darell Leiking menggesa kerajaan Malaysia menamatkan tuntutan Filipina itu dan memetik rancangan Pimentel itu sebagai provokasi terhadap Sabah dan Putrajaya.
“Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Sabah perlu mencari jalan penyelesaian melalui diplomatik atau melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Pemimpin-pemimpin BN perlu menghantar mesej yang jelas kepada Manila supaya mengehntikan tindakan provokasi ini,” kata ahli Parlimen Penampang itu lagi.
Rakyat Sabah kata Musa akan tetap berasa ragu atas ikrar kerajaan Persekutuan untuk melindungi hak dan kepentingan mereka sekiranya tuntutan ini masih berterusan.
Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata tuntutan yang tidak berkesudahan ini adalah kerana kerajaan Persekutuan terutamanya Anifah gagal menghentikannya.
“Ia amat menjengkelkan dan membuatkan rakyat Sabah gelisah. Ini kegagalan paling besar kerajaan Persekutuan dan menteri luar yang tidak membuat kerja dengan baik.
“Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaritan selama lebih dari 50 tahun. Kerajaan Malaysia harus memastikan Filipina menghentikan tuntutan itu,” katanya. – 31 Januari, 2018.
Komen