PERIKATAN Nasional (PN) melancarkan versi jualan murahnya yang sendiri digelar sebagai Gerai Prihatin Rakyat bagi membantu orang ramai yang tertekan dengan peningkatan kos barang makanan, kata pengerusi gabungan Muhyiddin Yassin.
Bagi menjalankan program tersebut, PN akan mendapatkan bantuan ahli majlis tertingginya, Ronald Kiandee, yang merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, katanya.
“Saya selaku pengerusi PN telah memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.
“Ronald Kiandee telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan atas kapasitinya sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Presiden Bersatu itu pernah memegang jawatan perdana menteri sebelum digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob pada Ogos.
Inisiatif PN ini berjalan selari dengan program serupa oleh kerajaan Ismail Sabri, yang digelar Program Jualan Keluarga Malaysia, juga bertujuan menawarkan barangan keperluan asas yang lebih murah berikutan kenaikan harga makanan, terutamanya sayur-sayuran, sejak beberapa minggu ini.

Pada Selasa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan Program Jualan Keluarga Malaysia dua kali sebulan bagi membantu orang ramai menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Katanya tarikh pelaksanaan akan bermula pada 4 Disember di semua 222 kawasan Parlimen.
Selain itu, 1,000 pegawai penguat kuasa turut akan dikerahkan memantau 1,500 premis yang menjual barangan keperluan, katanya kepada Dewan Rakyat.
Harga sayur-sayuran telah meningkat sehingga 200 peratus sejak beberapa minggu ini, dengan petani mengaitkan pelbagai masalah termasuk kekurangan tenaga buruh, bahan mentah yang lebih mahal, perubahan iklim, serta gangguan logistik dan rantaian bekalan global. – 2 Disember, 2021.
Komen