Kerajaan perkenal program jualan murah barang asas mulai 4 Dis, kata menteri


Chan Kok Leong

Program Jualan Keluarga Malaysia akan dilaksanakan dua kali sebulan membabitkan 222 kawasan Parlimen, dan menawarkan harga barangan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

KERAJAAN akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia mulai 4 Disember bagi membantu rakyat ketika harga barang keperluan asas melonjak naik kebelakangan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Program tersebut akan dilaksanakan dua kali sebulan membabitkan 222 kawasan Parlimen, dan menawarkan harga barangan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kementerian sudah mendapat kerjasama agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ini,” katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan menteri.

Lim bertanyakan apakah tindakan kerajaan untuk menurunkan harga barangan yang naik dengan tinggi dan mendadak.

Mengulas lanjut, Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan menggerakkan lebih 1,000 bagi memantau harga barangan di 1,500 premis.

Susulan kenaikan harga barangan juga sering berlaku menjelang musim perayaan, KPDNHEP katanya akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan skim kawalan harga maksimum musim perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang Krismas.

Tarikh pelaksanaan SKHMP akan diumumkan KPDNHEP dalam tempoh terdekat.

“Saya ingin memberikan amaran di sini agar tiada pihak yang cuba untuk menaikkan harga lebih awal. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk menaikkan harga kerana kenyataan awal saya ini.”

Berkenaan kenaikan harga ayam, Nanta berkata kementeriannya mencadangkan supaya membenarkan pengimportan ayam bulat dari loji pemprosesan luar negara yang mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Cadangan itu sebagai langkah sementara bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga pasaran, kata ahli Parlimen Kapit. – 30 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen