KERAJAAN perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangkan harga barang makanan, kata Anwar Ibrahim kepada pemberita ketika menerima memorandum daripada dua badan bukan kerajaan hari ini.
“Harga sayur-sayuran, ayam dan lain-lain telah naik secara drastik dan kerajaan mesti menanganinya dengan segera,” kata ketua pembangkang yang bertemu dua kumpulan berkenaan di pintu masuk Parlimen pagi ini.
Anwar, yang merupakan ahli Parlimen Port Dickson, menerima memorandum daripada Otai Reformis dan Badan Bertindak mengenai kenaikan harga barangan makanan.
Harga sayur-sayuran meningkat sejak beberapa minggu ini sebanyak 200%, menurut kumpulan pengguna, petani dan pemborong.
Petani menyalahkan pelbagai faktor termasuk kos bahan mentah yang tinggi seperti baja, kekurangan buruh asing, logistik dan masalah rantaian bekalan global.
Kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk menjual makanan dan barangan secara murah dalam jualan Keluarga Malaysia dua kali sebulan untuk membantu orang ramai menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi memberitahu Parlimen bahawa kerajaan juga akan menempatkan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan semakan harga ke atas 1,500 kedai yang menjual barangan keperluan.
“Memandangkan harga biasanya meningkat semasa musim cuti, kerajaan akan memulakan skim kawalan harga maksimum musim perayaan (SKHMP) lebih awal, menjelang perayaan Krismas,” kata Alexander semasa sesi soal jawab menteri.
Tarikh penjualan katanya akan diumumkan tidak lama lagi, tetapi ia akan bermula pada 4 Disember di semua 222 kawasan Parlimen. – 2 Disember, 2021.
Komen