Faktor cuaca, pengeluaran rendah punca harga sayuran melonjak, kata pemain industri


Khoo Gek San

Kenaikan harga terutamanya disebabkan oleh musim hujan dan pengeluaran yang rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2021.

HARGA sayur-sayuran yang diimport meningkat sebanyak 100% dan kini paling mahal dalam tempoh 20 tahun, kata pemborong.

Kenaikan harga terutamanya disebabkan oleh musim hujan dan pengeluaran yang rendah daripada petani yang tidak dapat memenuhi permintaan kerana kekurangan pekerja.

Ia juga menjadi lebih teruk susulan kenaikan harga racun perosak dan baja yang meningkatkan kos petani.

Lonjakan harga semasa bagaimanapun bersifat sementara dan mudah dipulihkan apabila bekalan dapat memenuhi permintaan, jelas mereka.

Presiden Persatuan Peniaga Sayur-sayuran Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata, ini kali pertama harga mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 20 tahun terakhir.

Beliau berkata, musim tengkujuh dan suhu tidak menentu menjejaskan penanam sayur yang tidak dapat memenuhi permintaan pasaran justeru menaikkan harga.

“Pada masa sama, China mengurangkan eksport sayur-sayurannya sekurang-kurangnya 40%,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Selain China, Malaysia juga mengimport sayur-sayuran seperti brokoli dari Australia, ia memang mahal tetapi harga daun saderi Australia juga naik kerana kos pengangkutan.

“Thailand juga terjejas oleh musim hujan. Semua ini akan menyebabkan harga meningkat lebih lagi pada Disember.”

Wong memberi contoh daripada 10kg sayur-sayuran yang diperoleh daripada penanam, hanya 8kg boleh dijual kerana selebihnya rosak.

“Sayur-sayuran tidak dibeli dan dijual pada harga yang sama. Kita juga mesti mempertimbangkan penyimpanan. Lebih lama kami menyimpannya, lebih murah kami boleh menjualnya kerana ia tidak bertahan lama.”

Awal minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan harga sayur-sayuran di pasaran meningkat sebanyak 200%. – 29 November, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen