CAP gesa kerajaan siasat harga sayur naik


CAP desak kerajaan mengambil langkah segera menurunkan harga sayur-sayuran yang naik sehingga dua kali ganda sejak dua minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu kerajaan mengambil langkah segera menurunkan harga sayur-sayuran yang naik sehingga dua kali ganda sejak dua minggu lalu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata harga yang tinggi itu akan jadi lebih tinggi dalam masa beberapa minggu lagi.

“Beberapa peruncit mengadu bahawa pengedar dan pemborong memberi amaran kepada mereka bahawa harga sayuran lain mungkin akan naik dalam beberapa minggu akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohideen menyebut antaranya sawi pendek yang sebelum ini RM3 tetapi sekarang RM9.

Kobis bunga juga naik daripada RM7 kepada RM16, sementara cili merah sebelum ini RM13 naik menjadi RM19 dan cili hijau daripada RM10 kepada RM14.

“Golongan berpendapatan rendah akan terjejas teruk dengan kenaikan harga barang dan tindakan keras terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan,” kata Mohideen.

Beliau menggesa Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk segera menyiasat, termasuk kemungkinan pelanggaran Akta Anti-Pencatutan 2010.

Mohideen juga kesal kerana seruan badan pengguna selama ini supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan mengawal pemasaran dan pengedaran sayuran tidak diendah. – 23 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen