KESATUAN Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) mahu Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menuntut Putrajaya memulangkan semula wang yang dikeluarkan oleh ahli B40 dan M40 sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan kerajaan.
Setiausaha Agung Nube J Solomon berkata kerajaan sepatutnya memberikan bantuan kepada orang ramai semasa tempoh pandemik Covid-19 yang sukar.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan membuatkan pekerja mengeluarkan simpanan persaraan mereka untuk meningkatkan ekonomi.
“Di bawah pakej rangsangan kerajaan, daripada memberikan rebat dan insentif semasa pandemik kepada pekerja, kerajaan menyebabkan pekerja mengeluarkan wang daripada simpanan mereka untuk meningkatkan ekonomi.
“Ini dilakukan melalui pengenalan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dan ahli KWSP sudah mengeluarkan RM101 bilion daripada simpanan mereka.
“Memandangkan kerajaan menyebabkan simpanan persaraan pekerja B40 dan M40 berkurangan, melalui pakej rangsangannya, adalah wajar kerajaan menambah semula wang yang dikeluarkan oleh pekerja.
“Kerajaan perlu mencari mekanisme untuk penambahan semula bagi perlindungan kepada pencarum apabila mereka bersara,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini. – 22 November, 2021.
Berita penuh di sini
Komen