NAJIB Razak mengecam proses yang panjang dan sukar bagi mereka yang ingin membuat pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Kategori 2 skim i-Sinar.
Dalam catatan Facebook hari ini, ahli Parlimen Pekan itu berkata keseluruhan proses bagi mereka yang berada di bawah kategori ini sangat lama, memandangkan rakyat sudah lama menderita.
“Adakah ia munasabah bagi mereka yang tengah lemas untuk tunggu 3 bulan lagi sehingga akhir bulan Februari sebelum mendapat pelampung sedangkan mereka sudah berharap sejak bulan Oktober iaitu 5 bulan dahulu?” tulisnya dalam catatan Facebook hari ini.
Semalam, KWSP mengumumkan kriteria pengeluarannya dan mengatakan pencarum terbahagi kepada dua kategori.
Najib menyentuh isu mengenai kriteria KWSP bagi kategori 2, yang membolehkan pencarum mula memohon skim ini secara dalam talian mulai 11 Januari 2021.
Ia merangkumi ahli yang masih bekerja dan berdepan pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan lebih, termasuk gaji dan elaun, atau pemotongan kerja lebih masa, selepas 1 Mac tahun ini.
Untuk tujuan ini, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada pemohon, iaitu slip gaji dan notis cuti tanpa gaji atau notis penamatan/pemotongan elaun dan/atau tuntutan lebih masa.
Najib berkata selain syarat berbentuk dokumen, tempoh pembayaran juga menjadi masalah.
“Ramai yang terdesak sudah tunggu sejak bulan Oktober, perlu tunggu sehingga 11 Januari 2021 untuk memohon dengan pelbagai bukti dokumen.
“Kena tunggu lagi 2 hingga 3 minggu untuk dimaklumkan KWSP jika permohonan layak atau tidak.
“Jika layak, bayaran hanya akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya - iaitu pada akhir bulan Februari,” katanya, sambil menambah sekarang masih awal Disember dan rakyat sudah menderita.
Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat yang kemudahan i-Sinar KWSP boleh diakses oleh semua ahli yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji, atau tidak mempunyai sumber pendapatan.
Skim i-Sinar dibuka kepada 8 juta ahli KWSP.
Kemudahan ini akan dibuka untuk permohonan kepada ahli dalam Kategori 1 mulai 21 Disember.
Mereka yang berada dalam kategori ini merangkumi penyumbang yang bekerja dalam sektor ekonomi formal atau gig; mereka yang bekerja sendiri atau sudah tidak lama mencarum; suri rumah; serta mereka hilang pekerjaan atau mendapat cuti tanpa gaji.
Ahli yang tidak mencarum sekurang-kurangnya dua bulan berturut-turut atau lebih semasa permohonan, atau mereka yang masih bekerja tetapi berdepan pemotongan gaji asas sebanyak 30% atau lebih selepas 1 Mac tahun ini layak memohon.
Mereka yang berada di bawah kategori ini tidak perlu memberikan dokumen sokongan, kerana kelulusannya adalah automatik berdasarkan data dalaman KWSP. – 3 Disember, 2020.
Komen