Atas robohan PRN Melaka


Izmil Amri

“POST-MORTEM” adalah istilah perubatan yang berakar daripada kata Latin bererti “selepas mati”. Orang kita memanggilnya bedah siasat, guna mencari punca kematian seseorang.

Maka apabila seseorang itu meninggal dunia tanpa diketahui apa sebabnya, dibuatlah bedah siasat atau post-mortem ini untuk mencari tahu sebab musabab yang mengakibatkan si mati putus nyawa.

Dalam konteks Malaysia, post-mortem juga digunakan sebagai istilah bijak pandai politik untuk bermuhasabah selepas sesuatu kejadian; kalah pilihan raya contohnya. Siapa yang mati, entahlah.

Namun setiap kali kalah pilihan raya, akan ada pemimpin politik yang mengumumkan keperluan post-mortem ini, supaya dapatlah mereka mengetahui mengapa mereka kalah, dengan harapan faktor kekalahan itu dapat diperbaiki agar tidak kalah lagi pada masa akan datang.

Selepas menyaksikan beberapa siri post-mortem pilihan raya sepanjang beberapa tahun ini, saya berpendapat seandainya kita yang mati, biarlah orang lain yang menceritakan apa sebab kita mati.

Kita yang sedang terbujur kaku di atas meja bedah siasat itu, diam-diam sajalah. Kita tu kan dah mati.

Jadi apabila Pakatan Harapan (PH) kecundang (lagi) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dua hari sudah, tentu saja akan ada yang mengumumkan post-mortem bakal dijalankan.

“Ya, kita akan kaji,” paling kurang begitulah pengumumannya, ringkas dan sendu.

Sambil itu, sudah muncul suara-suara dan perkongsian media sosial memberikan pendapat masing-masing.

Ada yang menyalahkan pilihan logo, katanya sudah tercemar angkara 22 bulan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Ada pula yang menyalahkan strategi meletakkan “katak berprinsip” sebagai calon boleh menang, seraya menyeru supaya pengatur strategi itu dilengserkan dari kedudukannya sebagai ketua eksekutif gabungan.

Tidak kalah hebat adalah gerombolan yang menyalahkan pengundi. Dimarahnya pengundi tidak pulang ke kampung, pengundi sokong kleptokrat, pengundi kampungan tidak faham isu dan beberapa spesis pengundi lagi.

Menerima kritikan

Meski sudut pandang dalaman, berdasarkan pengalaman bekerja sepanjang tempoh kempen dua minggu mungkin memberikan sedikit pencerahan tentang faktor kenapa PH boleh terlungkup di negeri yang sebelum ini pernah ditawan dengan peratus undi popular 43% (berbanding 36% kali ini).

Apa yang jauh lebih penting ialah kesediaan untuk menerima kritikan dari luar yang lebih tajam dan jujur.

Selagi mana kita sendiri yang membuat penilaian dengan menyalahkan seluruh alam semesta kecuali diri sendiri, selagi itulah kita akan terus mereput dan tidak boleh bergerak maju.

Dahulu Umno suka buat perangai ini. Apa saja bacaan risiko di lapangan akan disalut dengan lapisan gula seperti keria Haji Jalil Limbongan, sebelum dihidangkan kepada pucuk pimpinan parti.

Keria itu kemudiannya akan dibaham bersama teh o panas, sambil hujan turun renyai-renyai, dan semuanya terus dirasakan “okay”. Penyudahnya Umno melingkup hancur pada 2018.

Tiga tahun kemudian, Umno ternyata belajar serba sedikit daripada kesilapan lampau dan bingkas memperbetulkan pendekatannya. Meski canggung dan menjengkelkan, strateginya di Melaka ternyata laku.

Kalaupun pengundi tidak membeli dagangan Umno itu kerana percaya kepada nilai yang dibawa parti itu, paling tidak mereka mengambilnya kerana alternatif yang satu lagi pun tidak begitu menarik.

Tiada beza dengan Tanjong Piai

Demografi pengundi Melaka tidak banyak beza dengan apa yang kita saksikan dalam PRK Tanjung Piai hampir tepat satu tahun lalu.

Dalam ulasan saya terhadap keputusan PRK yang memilukan itu, saya perjelaskan “vote-bank” MCA sebanyak lebih 20,000 undi tidak pernah berubah sejak 2008.

Pada PRU14, allahyarham Dr Mohamed Farid Md Rafik memenangi kerusi tersebut daripada MCA dengan kelebihan hanya 1%. Undi penentu yang memberikan kemenangan kepada Dr Farid adalah undi Melayu yang menolak kleptokrasi Najib Razak dan mempersetujui kempen Dr Mahathir untuk menghumban si “penyamun” itu keluar dari Putrajaya.

Hal yang serupa turut kelihatan di Melaka. Dengan faktor pengundi luar tidak bersemangat untuk pulang, dan kekecewaan penyokong sendiri yang telah menarik dukungan mereka terhadap PH (yang sudah bukan kerajaan pusat), BN menemukan jalan mudah untuk mengulangi formula Tanjung Piai yang ternyata membuahkan hasil.

Apatah lagi, mereka kini kembali menguasai Putrajaya. Hatta, MCA dan MIC pun boleh menang tiga kerusi.

Gelombang yang membawa kemenangan buat PH pada PRU14 adalah gelombang pimpinan Dr Mahathir yang mengisi vakum kepimpinan Melayu, lantas membawa bahtera perjuangan impian Malaysia akhirnya ke destinasi di Presint 1, setelah beberapa kali bahtera itu sangkut tiada mendarat kerana angin tidak cukup kuat.

Faktor Anwar Ibrahim

Bridget Welsh dalam analisisnya semalam menyatakan dengan tuntas Anwar sudah tidak lagi punya kredibiliti untuk mengepalai blok pembangkang. Dukungan awam terhadapnya juga sudah kian lenyap.

Penyokong Anwar pastinya tidak akan pernah setuju. Anwar adalah sosok pemersatu parti pembangkang yang tiada galang gantinya, justeru Bridget jangan memandai-mandai.

Ini pemimpin ulung yang mengorbankan segala-galanya demi memperjuangkan nasib buruh tani mahasiswa dan rakyat miskin kota. Cis!

Namun kata Bridget, Anwarlah yang berkeras mencalonkan beberapa katak meski dibantah keras bukan saja oleh rakan pimpinan parti komponen malah juga orang ramai di media sosial. Katak-katak tersebut juga tersungkur bersama semua calon parti Anwar.

Lebih menarik lagi, pada malam keputusan pilihan raya, pengerusi PH itu bertindak meninggalkan panglima-panglimanya di Melaka untuk mendepani media, manakala beliau berangkat ke Sarawak untuk meluncurkan jentera pilihan raya PKR di sana.

“Dah tahu kalah agaknya,” ujar seorang rakan wartawan. “Kalau confirm menang, takkanlah tinggalkan kawan-kawan terkontang-kanting.”

Sekarang bayangkan kritik yang sedemikian dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR, atau Majlis Presiden PH. Entah-entah terbalik meja mesyuarat.

Pun begitu, hakikatnya Umno-BN menang bergaya di Melaka. Tidak kiralah apa pun serabut manikam pertelingkahan mereka kemudian daripada itu, mereka menang dan PH hanya mampu menangis di bucu katil.

Menuju PRU15

Bergerak ke hadapan, menuju PRU15 yang mungkin saja berlangsung tidak berapa bulan lagi, perlu ada keberanian untuk memecahkan kebuntuan dan menekan butang “reset” agar generasi ahli politik “boomer” dapat perlahan-lahan memberi laluan kepada generasi “zoomer” tanpa bagasi lebihan untuk mengorak langkah membina kerjaya politik mereka pula.

Alangkah baiknya jika dengan pemberdayaan anak muda 18 tahun usia diberikan hak demokratik mereka untuk memilih. Pilihan yang ada untuk mereka juga adalah generasi yang memahami lenggok sosio budaya mereka. Sementelahan, politikus yang ada pun hampir kesemuanya tinggalan abad lampau.

2022 tinggal sebulan lebih sikit saja lagi. Dari robohan Kota Melaka, kita bina semula impian Malaysia. – 22 November, 2021.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terbaik

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Naim Al-Kalantani · Ulasan