TANDA-TANDA keretakan hubungan Pakatan Harapan (PH) dan Putrajaya mula kelihatan yang mungkin membawa kepada pembatalan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani mereka, kata penganalisis politik.
Jika ini tidak segera diatasi, ia boleh menyebabkan ketidakstabilan politik sekali gus kerajaan Ismail Sabri terpaksa mempercepatkan pilihan raya umum (PRU), kata mereka.
Bagaimanapun, ada yang berkata MoU tersebut cuma terhad kepada reformasi politik, malah tindakan kerajaan di luar skop itu tiada kena mengena dengan persefahaman itu.
MoU dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata PH sedang mengkaji semula kerjasamanya dengan Putrajaya susulan pendedahan kerajaan sedang mempertimbangkan permohonan hartanah bernilai RM100 juta bekas perdana menteri Najib Razak.
Ia disusuli pula dengan pengumuman Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam di Melaka yang berkata pemimpin PH bercadang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan mengenai MoU tersebut.
Bagaimanapun semalam Najib telah menarik balik permohonannya untuk sebidang tanah bernilai RM100 juta, berkata beliau membuat keputusan itu kerana pembayar cukai tidak “selesa” dengannya.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar memberitahu The Malaysian Insight yang PH tidak berpuas hati dengan permohonan Najib itu kerana pembayar cukai masih menderita akibat pandemik Covid-19.
“PH pasti sukar terima keputusan sedemikian,” kata Hisommudin.
“Jika PH pilih untuk tamatkan kerjasama, dari segi politik, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih boleh bertahan, tetapi kredibiliti mereka tercalar.”
Pada September lepas gabungan pembangkang dan kerajaan menandatangani MoU untuk kestabilan dan transformasi politik.
MoU itu mengandungi enam teras: pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, serta Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan sebuah jawatankuasa pemandu.
Di bawah perjanjian yang dipersetujui, kerajaan telah berjanji untuk melaksanakan tiga pembaharuan besar pada pertengahan tahun depan, sebelum sesi Parlimen berikutnya atau kelima.
Ia adalah undang-undang antilompat parti, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik, selain mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, antara lain.
Walaupun PH tarik diri daripada Mou tersebut bukan bermaksud kerajaan akan jatuh secara automatik, Hisommudin memberi amaran hubungan BN dan PN juga bukanlah yang paling mesra ketika ini.
“Hubungan BN dan PN runcing. Ini jelas apabila mereka gagal capai kata sepakat untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka,” katanya.
“Ini diikuti dengan pertikaian antara pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan ahli Umno yang boleh bagi kesan negatif kalau PN tarik sokongan terhadap kerajaan.”
Hisommudin berkata kerajaan perlu meredakan pertikaian sebelum jadi lebih tegang.
“Situasi semasa mungkin bawa kepada satu lagi krisis politik negara. Ismail Sabri perlu buat sesuatu untuk redakan ketegangan sebab jika tidak mungkin terpaksa buat PRU lebih awal daripada yang dijangkakan.”
Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata tanda-tanda retak MoU antara PH dan Putrajaya makin jelas ketika Ismail Sabri dan kerajaan ambil mudah sokongan PH itu.
“Mereka fikir MoU itu cek kosong untuk mereka buat apa sahaja yang mereka mahu. Bukan begitu,” kata Tunku Mohar.
PH baru-baru ini turut menyuarakan mereka tidak berpuas hati dengan peruntukan dalam Bajet 2022, berkata ia tidak menyediakan pembiayaan yang sama rata kepada semua kaum.
Bajet 2022 berjumlah RM332 bilion itu cuma memperuntukkan RM290 juta untuk menambah baik infrastruktur di kampung baharu Cina dan RM145 juta kepada masyarakat India untuk program sosiobudaya ekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) manakala RM11.4 bilion diperuntukkan untuk Bumiputera.
Untuk MoU itu berjaya, kedua-dua pihak perlu tunaikan apa yang mereka tawarkan, katanya
Bagaimanapun, masih belum terlambat untuk kerajaan memutuskan untuk tidak memberi Najib sebidang tanah yang dimintanya, tambah Tunku Mohar.
“Boleh difahami kenapa PH mahu kaji semula MoU itu. Bagaimanapun, jika keputusan mengenai pemberian untuk Najib belum dibuat, masih belum terlambat untuk menolaknya. Jika ini berlaku, kedua-dua pihak menang.”
Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bagaimanapun tidak bersetuju yang MoU itu akan terjejas dengan keputusan kerajaan untuk memberi hadiah kepada Najib atas sumbangannya kepada negara.
Beliau juga berpandangan PH tidak akan tarik diri daripada MoU itu semata-mata kerana isu tersebut.
“MoU itu mengenai apa yang dipersetujui, terutamanya reformasi politik.
“Selagi perkara itu dilaksanakan, PH tidak tergesa-gesa untuk tarik diri daripada MoU itu.”
Oh berkata ia juga demi kepentingan kerajaan dan Ismail Sabri bagi memastikan status quo terjamin.
“Ismail Sabri lebih mahu jaga MoU itu dan kedudukannya.” – 20 November, 2021.
Komen