BEKAS perdana menteri Najib Razak memutuskan menarik balik permohonanya terhadap sebidang tanah bernilai RM100 juta.
Dalam sidang media yang diadakan di Facebook, ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau membuat keputusan itu kerana rakyat tidak “selesa” dengannya.
“Saya telah membuat keputusan menolak tawaran itu, walaupun pada prinsipnya ia berdasarkan kelayakan saya sebagai bekas perdana menteri,” katanya semasa sidang media.
Di bawah undang-undang diperkenalkan pada awal 80-an, Najib sebagai bekas perdana menteri berhak memilih satu daripada tiga jenis elaun perumahan sebagai satu bentuk ganjaran daripada kerajaan.
Kemudahan itu, seperti yang disenaraikan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan), boleh dalam bentuk rumah kerajaan yang lengkap dengan semua kemudahan, elaun bulanan RM10,000 jika beliau memilih untuk tinggal di rumah sendiri, atau pemilikan sebuah rumah dihadiahkan oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata apabila diberikan tiga pilihan itu, beliau tidak tahu nilai tanah yang dipilihnya.
“Ada pilihan lain, tiga tapak lain diberikan. Jadi saya memilih tapak itu kerana ia ditawarkan kepada saya oleh Jabatan Perdana Menteri.
“Saya tidak mengetahui nilainya. Saya tidak membuat penilaian.
“Saya mula mengetahui (nilai) selepas ia dihebahkan secara meluas. Saya tidak terlibat dalam penilaian dan saya tidak pernah membuat keputusan tentang penilaian yang sepatutnya. Saya tidak terlibat,” katanya.
Najib juga berkata beliau pelik diserang sebegitu menjelang pilihan raya Melaka esok.
“Melaka yang sedang menjalani pilihan raya tetapi saya pula yang diserang. Saya tidak bertanding di sana, saya juga bukan presiden Umno atau pengerusi Barisan Nasional.”
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di Kuala Lumpur.
Tengku Zafrul bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada permohonan itu diluluskan.
Berita itu mengejutkan rakyat Malaysia yang mengkritik Najib kerana berani membuat permohonan sedemikian selepas ahli Parlimen Pekan itu disabitkan dengan tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International.
Najib berkata beliau mempunyai rancangan untuk membina kediaman di atas tanah itu. – 19 November, 2021.
Komen