PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini dijangka menyaksikan persaingan ketat dan ini sekali gus menyukarkan ramalan pakatan politik mana yang boleh membentuk kerajaan negeri baharu, kata penganalisis politik.
Ketiga-tiga gabungan politik utama – Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan – bertanding di semua 28 kerusi DUN menjadikan semua kerusi bertanding pelbagai penjuru dengan penambahan calon bebas dan calon daripada dua parti yang lebih kecil.
Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight ada kemungkinan gabungan yang menang itu perlu mengumpulkan sokongan daripada parti lain untuk menubuhkan kerajaan.
Penolong Profesor Sains Politik Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata terdapat kemungkinan untuk DUN Melaka tergantung.
“Mungkin akan jadi kerajaan perpaduan.
“Memang sukar untuk berkempen kerana parti dan calon mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Semalam Ilham Centre berkata berdasarkan tinjauan mereka, BN boleh memenangi 11 kerusi dengan selesa dan PH boleh menang tujuh kerusi dalam PRN Melaka hari ini.
Sebanyak 15 kerusi diperlukan untuk membentuk majoriti mudah dalam kerajaan negeri Melaka.
Badan kajian itu mendapati, BN memerlukan empat kerusi lagi dari 10 kawasan panas untuk memperolehi majoriti mudah PRN Melaka.
Ilham Centre juga berkata PH boleh menang dalam dua keadaan: jika peratusan keluar mengundi melebihi 80% atau jika PN memecahkan undi Melayu BN.
“Jika dua senario ini tidak berlaku, BN akan menjadi pemenang di Melaka,” katanya.
Tunku Mohar bersetuju dan berkata ia terlalu hampir untuk pecahan kerusi.
“Saya rasa Umno dan DAP akan mengekalkan kerusi yang mereka menangi kali terakhir.
“Selebihnya bergantung kepada bagaimana PN akan memecahkan undi dan merosakkan keputusan. Saya fikir PN akan sukar untuk menang walaupun satu kerusi,” katanya.
Beliau menambah sudah menjadi tugas berat bagi parti untuk mendekati pengundi.
“Bagaimanapun mereka (parti) kreatif dalam berdepan sekatan itu.
“Namun kempen mungkin tidak sampai kepada pengundi yang disasarkan. Dalam keterbatasan, saya rasa parti melakukan yang terbaik untuk mendekati pengundi. BN pasti mempunyai kelebihan daripada media arus perdana,” katanya.
Tunku Mohar juga percaya peratusan keluar mengundi mungkin rendah hari ini.
Ini disebabkan mesej kempen yang tidak sampai kepada pengundi dan juga kerana kemarahan disebabkan pilihan raya diadakan semasa wabak, tambahnya. – 20 November, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen