PENGUNDI Melaka bersedia untuk menolak PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu berikutan pengharaman kedai judi dan arak oleh parti Islam di Kedah.
Mereka tidak mahu situasi sama berlaku di Melaka apabila kerajaan baharu berkuasa, lebih-lebih lagi jika PAS memegang tampuk kekuasaan.
Mereka turut beri amaran Bersatu mungkin dapat kesan sama dalam PRN kerana rapat dengan PAS.
PAS bersama Bersatu dan Gerakan bersekutu di bawah Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di semua 28 kerusi DUN. Bersatu akan bertanding di 15 kerusi, PAS lapan manakala Gerakan lima.
Seorang pengundi yang mahu dikenali sebagai May berkata PAS membebankan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin.
“Walaupun kami mahu undi Bersatu Muhyiddin, kami kini terganggu oleh hakikat yang PAS bersama mereka.
“Kami akan tolak PAS walau apa cara sekalipun atas apa yang mereka buat. PAS membebankan Muhyiddin dan PN,” kata pengundi Peringgit Jaya berusia 43 tahun kepada The Malaysian Insight.
May berkata PAS tidak patut dibagi peluang kerana tidak mahu PAS melaksanakan cita-cita mereka di negerinya.

Hujung minggu lepas, kerajaan Kedah pimpinan PAS mengumumkan pengharaman semua kedai nombor ekor dalam usaha membendung perjudian.
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata susulan itu pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan bagi premis berkenaan.
Kerajaan negeri juga katanya memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua daerah, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.
Melaka akan keluar mengundi Sabtu ini selepas empat Adun menarik sokongan terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali, yang membawa kepada pembubaran DUN.
Sentimen menolak PAS nampaknya sama bagi kebanyakan pengundi yang ditemui The Malaysian Insight.
Seorang pengundi dari Bemban, yang mahu dikenali sebagai Lim, 60, menggelar PAS sebagai parti perkauman yang tidak hormat hak kaum lain.
“PAS parti perkauman. Mereka sepatutnya hormat kaum dan agama lain tetapi tidak.
“Sebilangan besar pengundi bukan Islam di sini akan tolak PAS dalam PRN atas apa yang mereka buat,” kata lelaki berusia 60 tahun itu.
Lim turut persoal mengapa haramkan perniagaan yang telah membayar cukai kepada kerajaan.
“Ini adalah perniagaan dan mereka bayar cukai. Genting juga tempat berjudi. Kenapa tidak tutup Genting?” soalnya, menambah Malaysia akan maju dengan baik jika tidak kerana beberapa tindakan bermotifkan politik.

Menteri PAS sombong
Seorang lagi pengundi, Puvan, 59, dari Ayer Keroh berkata orang ramai tidak akan mengundi PAS kerana mereka tidak mahu parti pelampau itu jadi sebahagian daripada kerajaan baharu.
Beliau berkata apa yang dilakukan PAS di Kedah bakal mencetuskan kemarahan ramai orang, malah kemarahan itu boleh dilihat di Melaka.
“Jika PAS berkuasa, mereka mungkin bawa isu yang sensitif.
“Kerajaan Kedah pimpinan PAS sebelum ini membatalkan cuti Thaipusam. Sekarang mereka nak haramkan kedai judi pula. Ini menunjukkan mereka tidak peduli hak orang lain. Kita tidak mahu ini berlaku di Melaka yang majmuk.
“Dulu orang tidak mahu keluar mengundi sebab takut dengan Covid-19 tetapi sekarang, orang ramai akan keluar mengundi semata-mata untuk pastikan PAS tidak menang di sini dan supaya mereka tidak dapat nasib sama macam orang Kedah,” katanya.
Bong, 63, seorang pengundi dari Paya Rumput berkata beliau akan menolak calon Bersatu semata-mata kerana PAS berada dalam gabungan itu.
Turut menggelar PAS sebagai beban yang perlu dipikul PN Muhyiddin, Bong berkata beliau akan mengundi mana-mana parti lain yang tidak ada kena mengena dengan PAS.
“Saya secara peribadi tidak akan bagi peluang kepada PAS atau PN.
“Mereka suka buat onar dan sangat angkuh sebenarnya.
“Tengoklah menteri-menteri PAS dalam kabinet. Bercakap besar. Bila dalam kerajaan, mereka langgar peraturan, buat perkara yang ganggu keharmonian.
“Jadi, kenapa kita kena bagi peluang kepada mereka? Mereka tidak akan perjuangkan nasib orang bukan Melayu,” kata pekerja binaan itu.
Kerusi paya rumput bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Rais Yassin dari Barisan Nasional (BN), Shamsul Iskandar mewakili Pakatan Harapan (PH), Faris Izwan Mazlan dari Bersatu, Mohamad Hashidi Mohd Zin atas tiket Putra dan calon bebas Mohd Jaini Dimon.

Semuanya untuk kelangsungan politik
Allan, 41, yang akan membuang undi di Ayer Keroh, berkata akan ada orang menyokong PAS tanpa mengira apa yang mereka telah buat.
Bagaimanapun, beliau mendakwa PAS dan parti-parti lain yang dikaitkan dengan parti Islam itu akan terus hilang sokongan orang bukan Islam.
“Kalau PAS jadi sebahagian daripada kerajaan baharu, lambat laun mereka akan mula perkenal dan buat agenda mereka.
“Jadi, bagi saya, saya tidak akan undi mereka,” katanya.
Tambah Allan PAS merupakan parti yang akan berusaha keras mempertahankan kelangsungan politiknya, termasuk menggunakan diskriminasi kaum.
Beliau berkata tindakan PAS boleh dilihat daripada cara mereka sentiasa menukar sokongan mereka untuk kelangsungan politik.
“Kita beri mereka peluang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU), ketika mereka bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, tetapi sekarang tidak. Orang ramai sudah muak dengan mereka kerana sentiasa melompat hanya untuk kepentingan politik mereka.
“Saya bukan perkauman tetapi bila kita undi mereka, mereka tidak hormat kita.
“Ini adalah negara berbilang kaum tetapi mereka sentiasa cuba untuk kena dan paksa peraturan mereka kepada orang lain,” katanya.
Seorang pengundi yang mahu dikenali sebagai Yamin, dari Ayer Molek berkata, beliau gembira melihat Umno tidak bekerjasama dengan PAS pada PRN kali ini.

Beliau berkata Umno akan berhadapan nasib sama daripada orang bukan Islam atas masalah yang dicipta parti Islam itu.
“Dalam BN, kita menghormati semua kaum dan agama dan itu masih terbukti sehingga hari ini.
“Apa yang PAS buat pasti ada kesannya tetapi bertuahlah Umno atau BN tidak akan dapat kesan itu. Biar PN yang uruskan,” kata pengusaha kedai itu.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pertembungan Umno-PAS pada PRN Melaka akan datang tidak bermakna kedua-dua parti tidak boleh bekerjasama dalam PRU15.
Bagaimanapun, Yamin sebagai pengundi ada pandangan berbeza. Beliau berkata Umno perlu tengok secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada undi Melayu.
“Mereka (Umno-PAS) boleh kerjasama tetapi kemungkinan besar akan diketepikan oleh orang bukan Islam.
“Mereka (bukan Islam) akan undi pembangkang, yang akan bagi beritu buruk buat Umno dan BN.
“Kita sudah lihat majoriti bukan Islam tolak BN dan PAS pada PRU lepas. Kita tidak mahu perkara sama berulang dalam PRU akan datang,” katanya.
Pilihan raya negeri Melaka akan berlangsung esok, 20 November. – 19 November, 2021.
Komen