ISU Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) boleh dijadikan isu politik jika menteri tidak mahu beri maklum balas di Parlimen, kata Azhar Azizan Harun.
“Ini kerana Speaker tiada kuasa untuk paksa menteri jawab,” kata Speaker Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Memetik beberapa contoh, Azhar berkata, konvensyen Parlimen United Kingdom menyatakan menteri ada hak untuk enggan menjawab soalan.

“Tanggungjawab Speaker terhad kepada peraturan (yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat),” kata Azhar kepada ahli Parlimen.
“Tanggungjawab terletak sepenuhnya pada ahli Parlimen yang bertanya soalan dan menteri jawab. Speaker tidak ada kuasa dan tanggungjawab dalam bidang ini.
“Tetapi (seperti di UK) apabila menteri enggan jawab soalan, ini akan jadi isu politik dan dibahaskan dalam arena politik. Speaker, bagaimanapun, tidak boleh diseret ke dalam perkara ini. Dan itu adalah ketetapan saya,” kata Azhar.
Azhar menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang yang meminta Speaker memberikan ketetapan selepas Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) enggan menjawab soalan mengenai Mitra semalam.
Memandangkan perkara itu dalam siasatan, Halimah berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menasihatinya supaya tidak memberi tahu Dewan Rakyat mengenai isu tersebut.
Pembangkang cuba meminta kerajaan mendedahkan atau mengesahkan adakah skandal Mitra melibatkan pemimpin MIC.
Namun ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju.
“Ini adalah tidak bagus. Jika Halimah dibiarkan untuk tidak jawab, menteri lain pun boleh. Mitra bermasuk Tragedi Masyarakat India, bukan transformasi,” kata RSN Rayer (PH-Jelutong), yang turut menyoal Halimah semalam.
Ahli Parlimen lain yang bersetuju dengan Rayer ialah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Lim Guan Eng (PH-Bagan), M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Khalid Samad (PH-Shah Alam) dan Khasturi Patto (PH-Batu Kawan).
Bagi menamatkan pertengkaran tersebut, Azhar meminta Rayer mengemukakan semula usul membahaskan isu Mitra di Parlimen.
“Usul anda sebelum ini telah dikemukakan pada hari terakhir persidangan Parlimen yang lalu dan oleh itu ia tidak boleh dibawa ke sesi ini. Kemukakan usul baharu untuk bahas Mitra,” kata Azhar, sebelum menutup perkara itu.
Seolah-olah ingin menekankan perkara itu, Menteri Luar Bandar dan Wilayah Mahadzir Khalid (BN-Padang Terap) berkata: “Saya tiada masa untuk jawab hari ini. Jadi, bolehkah semua orang bersetuju yang saya tidak jawab?”
Pada Oktober, SPRM menahan 16 pengarah syarikat atas dakwaan penyelewengan dana Mitra.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia 24 hingga 68 tahun ditahan di sekitar Lembah Kelang bagi kes penyelewengan puluhan juta ringgit itu.
Katanya, pengarah syarikat berkenaan didakwa memohon peruntukan daripada agensi bawah Kementerian Perpaduan Negara itu yang kemudian diselewengkan individu tertentu.
Dana Mitra diwujudkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak untuk menyediakan program sosio-ekonomi kepada masyarakat India.
Bagaimanapun, siasatan SPRM mendapati tiada program dijalankan atau penyata perbelanjaan dikemukakan oleh mereka yang menerima geran daripadanya. – 18 November, 2021.
Komen