Halimah enggan bincang siasatan Mitra di Parlimen 


Chan Kok Leong

Dana Mitra diwujudkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak untuk menyediakan program sosio-ekonomi kepada masyarakat India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.

MENTERI Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique enggan mendedahkan maklumat kepada Parlimen berhubung geran yang diberikan oleh Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) kerana ia sedang disiasat.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mula menyiasat program dan geran yang diberikan oleh Mitra dari 2019-2021 dan mengatakan bahawa sebarang pendedahan boleh menjejaskan siasatan mereka,” katanya kepada Dewan Rakyat semasa perbahasan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 hari ini.

Bagaimanapun katanya beliau akan memberi taklimat selepas pilihan raya Melaka yang berlangsung Sabtu ini.

Namun alasan Halimah tidak disenangi ahli Parlimen lain, menyebabkan RSN Rayer (Jelutong-PH), M Kulasegaran (Ipoh Barat-PH), Wong Kah Woh (Ipoh Timur-PH) dan Kasthuri Patto (Batu Kawan-PH) mempersoalkan keputusan itu.

“Kenapa menteri berselindung di sebalik SPRM?” kata Rayer. “Kami faham bahawa Parlimen tidak boleh membincangkan kes yang sedang dalam perbicaraan tetapi tiada apa yang menghalang kami daripada membincangkan siasatan.”

Tambah Rayer SPRM tidak boleh menghalang menteri daripada memberi taklimat kepada wakil rakyat di Parlimen.

“Apa yang kita mahu tahu ialah jika pemimpin MIC terlibat? Adakah presiden MIC S Vigneswaran terlibat?” katanya.

Namun Halimah tetap mempertahankan tindakannya.

“Kami (kementerian) yang meminta SPRM menyiasat geran dan program yang diberikan oleh Mitra dari 2019 hingga 2021. Saya tidak takut kerana saya tahu apa yang kita lakukan adalah mengikut undang-undang.

“Jadi, jangan jadi hero Jelutong dan duduk. Biar SPRM jawab semua soalan ini kerana saya tidak boleh menjawabnya kerana ia sedang disiasat,” kata Halimah.

Pada Oktober, SPRM menahan 16 pengarah syarikat atas dakwaan penyelewengan dana daripada Mitra.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia 24 hingga 68 tahun ditahan di sekitar Lembah Kelang bagi kes penyelewengan puluhan juta ringgit itu.

Katanya, pengarah syarikat berkenaan didakwa memohon peruntukan daripada agensi bawah Kementerian Perpaduan Negara itu yang kemudian diselewengkan individu tertentu.

Dana Mitra diwujudkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak untuk menyediakan program sosio-ekonomi kepada masyarakat India.

Bagaimanapun, siasatan SPRM mendapati tiada program dijalankan atau penyata perbelanjaan dikemukakan oleh mereka yang menerima geran daripadanya. – 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen