PENGHARAMAN premis judi di Kedah bukan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kata Wee Ka Siong.
Presiden MCA itu berkata ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Saya sudah katakan apa yang berlaku di Kedah adalah mengenai lesen premis yang dikeluarkan kerajaan negeri.
“Perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Barisan Nasional, terpulang kepada kerajaan negeri Kedah,” katanya di Melaka hari ini.
Ahad lalu, kerajaan negeri Kedah yang diterajui PAS akan mengharamkan operasi premis judi di negeri itu, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Sanusi, kerajaan negeri tidak akan memperbaharui lesen untuk premis ini, yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sanusi berkata keputusan itu berkuatkuasa bermula tahun depan, dan menambah langkah itu akan menangani masalah yang timbul akibat judi.
Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu turut membuat keputusan yang sama.
Wee berkata Kementerian Kewangan telah mengeluarkan lesen itu, bukan hari ini tetapi sudah lama.
“Apabila sampai ke negeri ini, negeri mempunyai kuasa untuk memutuskan lesen premis itu tetapi apa yang saya pelik ialah sejak beberapa hari lalu saya tidak tahu bagaimana, Lim Guan Eng berkata ‘BN adalah kononnya ekstremis, PN ekstremis, sebaliknya sokong Pakatan Harapan maka anda akan mempunyai masyarakat yang adil.’
“Saya tidak faham, parti komponen sekutu mereka, wakil dari Amanah menyokong tindakan di Kedah, jadi justifikasi dia (Lim) labelkan (kepada BN) tidak bertimbang rasa.
“Jadi, ini bukan masalah Barisan Nasional, ia adalah keputusan kerajaan negeri.”
Terdahulu hari ini, Lim berkata Putrajaya memainkan sentimen perkauman dan ekstremis dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada perkara lebih mendesak
Dasar seperti larangan penjualan arak di kedai ubat Cina dan kedai runcit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan larangan kedai nombor ekor (4D) di Kedah adalah cara Putrajaya antara lainnya mengalih perhatian daripada krisis kesihatan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, katanya.
“Menggunakan pembohongan dengan merayu kepada sentimen ekstremis dan perkauman tidak menyembunyikan hakikat bahawa mendiskriminasi kaum minoriti bukan sahaja tidak bermoral dan bertentangan dengan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga memecah belah dan tidak menguntungkan rakyat Malaysia, termasuk Melayu-Islam.
“Adalah salah untuk mendiskriminasi, mengabaikan dan menyasarkan bukan Melayu atau bukan Islam sebagai alasan untuk menyembunyikan ketidakcekapan dan kegagalan mereka untuk meningkatkan kehidupan orang Melayu-Islam secara bermakna dengan pendapatan lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah.”
Wee berkata dalam masyarakat berbilang budaya terdapat kebebasan yang diberikan kepada bukan Islam jadi bagi orang Islam ia (berjudi) dilarang.
“Jadi, jika tindakan diambil terhadap orang Islam yang masuk ke tempat-tempat ini, tidak ada masalah, kerana itu haram bagi mereka.
“Tetapi bagi orang lain, kebebasan mesti diberikan kepada mereka sama ada mereka mampu melakukannya atau tidak.” – 17 November, 2021.
– 17 November, 2021.
MENYUSUL
Komen