Guan Eng selar Putrajaya guna dasar ekstrem alih perhatian isu mendesak


Lim Guan Eng berkata cukai dosa boleh diletakkan dalam dana berbeza, agar tidak digunakan oleh orang Melayu-Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.

PUTRAJAYA memainkan sentimen perkauman dan ekstremis dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada perkara lebih mendesak, kata Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata dasar seperti larangan penjualan arak di kedai ubat Cina dan kedai runcit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan larangan kedai nombor ekor (4D) di Kedah adalah cara Putrajaya antara lainnya mengalih perhatian daripada krisis kesihatan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Menyebarkan pembohongan dengan memainkan sentimen perkauman dan ekstremis tidak menyembunyikan hakikat yang diskriminasi terhadap minoriti bukan sahaja tidak bermoral dan bertentangan dengan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan, ia juga memecah-belahkan dan tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu-Islam sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

“(Adalah) salah untuk mendiskriminasi, mengabaikan dan menyasarkan bukan Islam atau bukan Melayu sebagai alasan untuk menyembunyikan ketidakcekapan dan kegagalan mereka dalam meningkatkan kehidupan orang Melayu-Islam dengan pendapatan lebih tinggi, pekerjaan lebih baik dan masa depan lebih cerah.”

Ahli Parlimen Bagan itu berkata larangan terhadap kedai judi dan penjualan arak adalah sebagai satu cara untuk menghentikan kutipan “cukai dosa” (hasil cukai daripada barangan seperti arak dan rokok).

Jika ini berlaku, Lim berkata cukai itu boleh diletakkan dalam dana berbeza, berasingan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

“DAP tidak akan membantah cukai seperti itu diasingkan daripada disimpan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

“Cukai sebegini boleh diletakkan dalam tabung berasingan bukan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, dan hanya dibelanjakan untuk bukan Islam tanpa rasa bimbang ia akan ‘mencemarkan’ perbelanjaan ke atas orang Islam.”

Beliau juga menyalahkan GPS, MCA dan MIC kerana memberi kuasa kepada parti Islam PAS melaksanakan dasar sedemikian.

Lim menambah ketika Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menggesa agar kerajaan Melayu-Islam dikembalikan di Melaka, kedua-dua parti itu berperang antara satu sama lain di peringkat persekutuan.

“Mengundi gabungan yang ada sekarang hanya akan mengembalikan gabungan perang yang sama yang fokus kepada berlawan satu sama lain untuk kuasa dan kedudukan berbanding menjaga kepentingan rakyat.” – 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen