357,592 daripada 5.8 juta pengundi baharu sahkan maklumat mereka, kata Putrajaya


Chan Kok Leong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata setakat 30 Oktober seramai 357,592 bakal pengundi sudah mengesahkan maklumat kepada SPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.

SERAMAI 357,592 bakal pengundi telah mengesahkan maklumat mereka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya setakat 31 Oktober lepas, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Parlimen hari ini.

“Ini dilakukan melalui Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.

SPPA sedang berjalan sehingga 31 Disember bagi membolehkan 5.8 juta pengundi tidak berdaftar berumur 18 tahun ke atas mengesahkan maklumat mereka dengan SPR sebelum mereka didaftarkan sebagai pemilih secara automatik tahun depan.

“SPR berharap pengesahan akan selesai selewat-lewatnya 31 Disember sebelum ia mendaftar secara automatik semua pengundi yang tidak berdaftar tetapi layak,” kata Wan Junaidi.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, SPR komited memastikan semua pemilih yang layak atas umur 18 tahun didaftarkan secara automatik berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September.

Menteri itu menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai jumlah rakyat Malaysia yang telah mengesahkan maklumat mereka setakat 31 Oktober.

Mahkamah Tinggi Kuching telah mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi 18 hujung tahun ini bagi membolehkan golongan belia mengundi pada pilihan raya umum akan datang. 

Mahkamah memutuskan SPR perlu mengambil langkah untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alexander Siew How Wai berkata SPR telah bertindak “tidak sah” dan “tidak rasional” ketika memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dari Julai 2021 hingga September 2022.

SPR menyebut bahawa wabak dan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 sebagai alasan penangguhan itu. – 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen