Mahkamah arah kerajaan laksana Undi 18 


Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi 18 hujung tahun ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuching mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi 18 hujung tahun ini bagi membolehkan golongan belia mengundi pada pilihan raya umum akan datang. 

Mahkamah memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengambil langkah untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alexander Siew How Wai berkata SPR telah bertindak “tidak sah” dan “tidak rasional” ketika memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dari Julai 2021 hingga September 2022.

SPR menyebut bahawa wabak dan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 sebagai alasan penangguhan itu.

“Mahkamah juga memerintahkan agar keputusan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan pindaan Undi 18 pada September 2022 dibatalkan,” katanya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Permohonan semakan kehakiman difailkan oleh lima belia Malaysia dan menamakan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan SPR sebagai responden.

Lima belia yang memfailkan semakan itu adalah Ivan Alexander Ong, Viviyen Desi George, Tiffany Wee Ke Ying, Grace Chang Swee Ern dan Sharifah Maheerah Syed Haizir.

Mereka memfailkan permohonan itu pada 4 Mei dan mendapat kebenaran untuk semakan kehakiman pada 28 Mei. Perbicaraan diadakan pada 27 Julai.

Kemenangan buat belia 

Undi Sarawak dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah tinggi itu “monumental” dan “signifikan” bagi para belia Malaysia untuk mengamalkan hak perlembagaan mereka.

Menurunkan had umur mengundi akan meningkatkan jumlah pengundi (termasuk pengundi muda baharu dan pengundi yang belum mendaftar) dari 14.9 juta pada 2018 kepada kira-kira 22.7 juta pada 2023, ketika PRU15 diadakan.

Wong, 19 yang merupakan salah seorang daripada pemohon berkata beliau sangat bersyurku dengan keputusan mahkamah kerana ia akan memberi laluan kepada kira-kira 125,000 hingga 135,000 belia untuk mengundi pada pilihan raya negeri akan datang apabila tamat perintah darurat.

Perintah darurat di Sarawak dilanjutkan hingga Februari 2022 bagi menghalang pilihan raya diadakan berrikutan penularan Covid-19 di negara ini.

“Saya dan rakan-rakan pemohon gembira dengan keputusan hari ini. Kini dalam pilihan raya umum yang akan datang, akan ada sekitar 8 juta pengundi baru, yang merupakan angka penting yang dapat mengubah perjalanan pilihan raya.

“1.2 juta suara baharu akan didengar dan dasar serta pembaharuan akan dibuat sejajar dengan suara baharu ini,” kata Wong. 

Seorang lagi pemohon, Chang berkata membenarkan belia mengundi penting untuk masa depan mereka dan ia merupakan cara terbaik untuk bersuara.

“Ini bukan politik kepartian, ini tentang suara kita dan peranan kita dalam demokrasi Malaysia. 

“Jadi, saya percaya dengan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun di pilihan raya negeri dan umum akan membawa Malaysia ke arah negara lebih baik,” katanya. 

Pada 16 Julai, 2019, usul untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dalam Perlembagaan Persekutuan diluluskan dengan 211 daripada 222 undian ahli Dewan Rakyat. 

Ia kemudiannya diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai tahun yang sama dan diwartakan dua bulan kemudian pada 10 September, 2019. Bagaimanapun, ia masih belum dilaksanakan. 

Dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berpihak kepada pemohon Undi 18, Undi Sarawak berkata ia diharap akan menjadi duluan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mana permohonan sama dibuat oleh 18 belia. 

Permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 April. Pada 17 Jun, mahkamah membenarkan untuk permohonan semakan kehakiman.

Mahkamah dijangka akan membuat keputusan pada 21 Oktober. – 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen