Aktivis hak asasi manusia dibebaskan dengan jaminan polis


Chan Kok Leong

Sarajun Hoda Abdul Hassan yang ditahan polis kira-kira jam 7 malam semalam sudah dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi tadi. – Gambar Facebook, 30 Januari, 2018.

AHLI veteran Aliran yang juga bekas exconya, Sarajun Hoda Abdul Hassan yang ditahan awal malam semalam sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 12.20 pagi tadi.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan dan pembebasan itu, mengatakan aktivis itu disoal siasat berkaitan kenyataan yang dikeluarkannya dalam talian yang didakwa menghina Islam.

“Kami masih menyiasatnya di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan. Dia dibebaskan dengan jaminan dan kami akan teruskan siasatan kami,” kata Fuzi kepada wartawan pada majlis di Pulapol hari ini. 

Salah satu catatan Facebook dibuat Sarajun sebelum ditahan adalah tentang laporan berita mengenai penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes pertukaran agama Indira Gandhi.

Bekas aktivis Bersih 2.0 itu ditahan atas dakwaan menyakiti perasaan orang berlainan agama di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jika didapati bersalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, seseorang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun.

Diasaskan pada 1977, Aliran Kesedaran Negara (Aliran) adalah pergerakan masyarakat sivil pelbagai etnik pertama Malaysia yang mendesak perubahan untuk keadilan, kebebasan dan solidariti.

Disenaraikan di bawah Majlis Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 1987, aktiviti utama Aliran adalah menerbitkan “Aliran Monthly”, sebuah penerbitan berkala untuk mencetuskan kesedaran isu hak asasi manusia negara ini. – 30 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen