Kempen di Melaka tak cukup aktif tarik pengundi


Noel Achariam Mohd Farhan Darwis Elill Easwaran

Kempen PRN Melaka dilihat tidak cukup aktif untuk mendekati pengundi menyebabkan ramai dalam kalangan mereka tidak mengenali calon yang bertanding. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2021.

KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) di Melaka sepanjang minggu lalu tidak cukup aktif untuk mendekati pengundi disebabkan oleh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat.

Pengundi memberitahu The Malaysian Insight bahawa kehadiran calon yang bertanding untuk 28 kerusi DUN adalah hambar menjelang PRN Sabtu ini.

SOP menyebabkan calon dan parti terpaksa bergantung pada media sosial untuk berkempen menyebabkan suasana kempen tidak sampai kepada pengundi kurang celik teknologi, kata pengundi.

Pavitra Muthiah, 25, yang akan mengundi di Ayer Keroh percaya parti yang bertanding tidak bersungguh-sungguh mendekati pengundi.

“Saya rasa parti yang bertanding tidak melakukan apa-apa untuk mendedahkan calon mereka. Kami faham ini kerana SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ketat.

“Jadi kerana kurangnya pendedahan, mereka (pengundi) melihat kepada prestasi parti dan bukannya calon,” katanya.

Pelajar undang-undang itu berkata walaupun dia mengenali calonnya, generasi lebih tua tidak begitu mengenali mereka.

Ini kerana katanya mereka tidak celik teknologi dalam menerima maklumat daripada platform media sosial.

“Saya fikir apabila bercakap mengenai generasi yang lebih tua, mereka terlepas pandang. Jadi saya percaya agak sukar untuk menghubungi mereka.

“Tetapi lebih mudah untuk menjangkau generasi muda melalui media sosial. Jadi dalam satu cara mereka menjangkau lebih ramai belia dan kehilangan generasi yang lebih tua.

Minggu lepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata Barisan Nasional berdepan kesukaran untuk mengukur sokongan rakyat dalam PRN Melaka berikutan sekatan di bawah SOP yang ketat.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata ini berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh jentera pemilihan parti.

“Sentimen, semangat dan komitmen jentera sangat tinggi…Saya rasa itu memberi kelebihan besar buat BN.

“Bagaimanapun sentimen rakyat sukar untuk dinilai kerana kita mempunyai lebih sedikit peluang untuk bertemu mereka secara peribadi,” katanya.

Pada 8 November lalu SPR berkata satu-satunya bentuk kempen fizikal yang dibenarkan semasa pilihan raya ialah penggunaan pembesar suara dari kenderaan pada masa tetap dan dengan permit polis.

Ini bermakna tidak boleh diadakan ceramah, tiada kunjungan rumah ke rumah oleh calon atau penyokong dan tiada aktiviti walkabout.

Soh Kim Choo, 72, dari Machap Jaya berkata dia langsung tidak mengenali calonnya kerana belum ada kempen dilakukan.

“Manifesto parti juga saya tidak tahu.

“Jika anda bertanya saya, apabila adanya pilihan raya, perlu ada ceramah kerana jika tidak bagaimana kami sebagai pengundi hendak mengenali calon kami,” katanya.

Beliau juga berkata beliau bimbang dengan pilihan raya apabila kes Covid-19 masih tinggi dan mereka tidak mampu untuk menutup operasi perniagaan mereka semula.

“Jika bukan kerana empat ekor katak, kita tidak perlu melalui perkara karut ini.

“Saya tidak faham kenapa mereka ini mahu menyusahkan hidup kita,” katanya merujuk kepada empat wakil rakyat negeri yang menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Umno menyebabkan PRN perlu dibuat. – 15 November, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen