CAPAIAN internet tanpa gangguan dan perkhidmatan data percuma penting bagi parti politik untuk dekati pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang, kata pemerhati politik.
Ini kerana semua parti ini akan menggunakan media sosial untuk berkempen berikutan larangan berkempen cara konvensional oleh kerajaan.
Pemerhati turut berkata semua parti perlu berfikir cara kempen kreatif lain, menggesa kerajaan pertimbang benarkan perhimpunan kecil dengan prosedur operasi standard yang ketat.
Semua perhimpunan fizikal dan acara sosial berkaitan PRN Melaka diharamkan bermula 25 Oktober hingga 27 November bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Sebab tiada perhimpunan fizikal, cuma tinggal media sosial untuk capai pengundi. Pengundi muda bergantung pada Facebook, Twitter dan berita dalam talian untuk baca tentang politik.
“Generasi tua juga ada telefon pintar. Terpulang kepada parti politik bagaimana untuk sasarkan khalayak mereka,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali.
Beliau bagaimanapun menggesa kerajaan membenarkan perhimpunan skala kecil sekurang-kurangnya 50 orang.
“Sepatutnya mereka permudahkan sedikit. PRN ini bukan seperti PRN Sabah yang ketika itu kita tidak ada vaksin. Sekarang ini 90 peratus orang dewasa sudah divaksin. Tunjuk SOP,” tambahnya.
Pihak berkuasa kelihatan bersungguh membanteras sebarang bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya. Terbaharu apabila PKR dikompaun RM10,000 kerana ceramah “kreatif” mereka dengan menyampai mesej mereka dari sebuah lori secara bergerak.
Terdahulu, Muda yang membuat sidang media di Melaka dengan lima orang, telah dikenakan denda manakala Barisan Nasional (BN), yang melancarkan jentera pilihan rayanya dari ibu pejabat Umno turut dikenakan kompaun.

Hisommudin Bakar dari Ilham Center bersetuju dengan Mazlan, berkata kerajaan mengarut kerana benarkan restoran dan pusat beli-belah dibuka tetapi tidak benarkan perhimpunan politik.
“Ironinya orang ramai boleh berhimpun di tempat lain, tetapi perhimpunan politik tidak dibenarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai badan yang mengendalikan hal berkaitan pilihan raya perlu tentukan isu ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata dengan larangan tersebut kini terpulang kepada parti politik untuk fikir cara kreatif berkempen.
“Parti politik perlu kreatif, selain guna media sosial sebagai alat berkempen, mungkin mereka boleh guna kenderaan bergerak dengan pembesar suara untuk sampaikan mesej mereka,” tambahnya.
Rakyat Melaka mengundi pada 20 November berikutan kejatuhan kerajaan negeri selepas empat Adun menarik sokongan terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali.
Ini adalah kerajaan kedua yang digulingkan di negeri ini melalui pembelotan selepas pilihan raya umum 2018.
Barisan Nasional kuat di negeri itu sejak 2008 hingga 2014 sebelum jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Namun kerajaan PH tidak bertahan lama apabila pada Mac 2020, Adun DAP Pengkalan Baru Norhizam Hassan Baktee dan Adun PKR Rembia Muhammad Jailani Khamis berpaling tadah.
Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tingkatkan capaian internet dan data percuma
Sementara itu, bekas pengurus sekretariat Bersih Mandeep Singh berkata Putrajaya perlu tingkatkan capaian internet di Melaka sepanjang tempoh kempen.
Tambahnya radio negeri Melaka, Melaka FM, juga boleh beri slot kepada parti politik pada sebelah malam.
“Kerajaan boleh bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk tingkatkan capaian internet di negeri ini semasa pilihan raya.
“Mereka juga boleh tawarkan perkhidmatan data percuma supaya sepanjang 12 hari tempoh kempen setiap pengundi boleh melayari internet tanpa kurangkan data mereka.
“Slot radio boleh diberikan kepada semua pihak dari pukul 5 petang hingga 10 malam setiap hari. Radio negeri boleh diakses dengan mudah oleh semua orang,” jelasnya.
Seorang pekerja parti Amanah memberitahu The Malaysian Insight cara untuk sebar maklumat berkaitan PRN melalui media sosial akan jadi kaedah utama pembangkang untuk dekati pengundi.
“Kami sedang sediakan apa yang diperlukan dan saya rasa beberapa maklumat telah disebarkan secara dalam talian.”
Beliau berkata sebagai petugas parti, beliau akan menunggu arahan selanjutnya daripada pemimpin parti untuk jalankan kaedah kempen mereka.
Barisan Nasional, PAS, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Muda akan bertanding dalam pilihan raya Melaka.
Pejuang memilih untuk tidak menyertai PRN kerana mendakwa pilihan raya itu bukan bertujuan untuk perbaiki taraf hidup rakyat Melaka. – 1 November, 2021.
Komen