PKR mahu Kementerian Kesihatan jelaskan larangan perhimpunan


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu KKM menjelaskan sepenuhnya larangan perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2021.

PKR mahu Kementerian Kesihatan menjelaskan larangan perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas ceramah parti itu malam tadi, yang dibuat dari atas lori dan tidak melibatkan perhimpunan umum, dikenakan kompaun.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kompaun RM10,000 dikeluarkan oleh polis di Taman Krubong Jaya atas dakwaan ingkar larangan kerana melakukan kempen pilihan raya.

“Saya kesal sewaktu kami menganjurkan program itu di Taman Krubong Jaya, pasukan polis telah keluarkan kompaun yang mengatakan kesalahan kami ingkar SOP kerana mengadakan kempen pilihan raya,” katanya pada sidang media, yang distrim langsung melalui akaun media sosial parti.

Jelas Shamsul Iskandar, ceramah secara bergerak itu adalah antara pendekatan kreatif yang diusahakan oleh pihaknya selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan larangan perhimpunan untuk mengelak penularan Covid-19.

Katanya, PKR akan meneliti apa yang berlaku termasuk menimbang untuk membawa isu ini untuk diputuskan oleh mahkamah.

Pada masa sama, Shamsul juga akan menulis surat kepada pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri untuk penjelasan. 

Beliau juga akan mengangkat isu sama kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, demi memastikan demokrasi tidak diperolok-olokkan di negara ini.

“Ini perkara yang amat saya dikesali. Saya desak Menteri Kesihatan meneliti dengan lebih tepat apa perinciannya dalam konteks tidak boleh mengadakan majlis sosial dalam tempoh pilihan raya.

“Saya akan tulis surat kepada Menteri Kesihatan, saya ingin tegaskan Menteri Dalam Negeri supaya dapat jelaskan kepada anggota di bawah.

“Mungkin mereka tak fahami dengan jelas atau mungkin mereka anggap ini satu arahan boleh dipukul rata,” katanya.

Kompaun RM10,000 tambahnya “amat tidak munasabah” kerana sepanjang program berlangsung tiada kontak fizikal yang berlaku dan tiada perhimpunan, sebaliknya hanya kenderaan yang bergerak.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan semua aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November.

Larangan ini merangkumi majlis pelancaran jentera pilihan raya, menjelang PRN Melaka yang penamaan calonnya ditetapkan 8 November.

Shamsul mendakwa Barisan Nasional (BN) juga menganjurkan majlis perhimpunan malam tadi dan mempersoalkan apakah pihak polis menguatkuasakan undang-undang dengan saksama.

“Adakah mereka juga dikenakan kompaun?” tanyanya.

Awal hari ini veteran DAP Lim Kit Siang juga bertanya soalan sama, apakah pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas penasihat BN Najib Razak dan pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin kerana berkempen di Melaka.

Katanya, larangan kempen mesti ditarik balik sekiranya dua bekas perdana menteri itu tidak dikenakan tindakan. – 31 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen