NAJIB Razak dan Muhyiddin Yassin perlu dikompaun kerana melanggar larangan kempen fizikal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), kata penasihat DAP Lim Kit Siang.
Dua bekas perdana menteri itu berkempen “secara selindung”, katanya.
Beliau turut mempersoalkan apa gunanya KKM melarang perhimpunan berkaitan PRN Melaka bagi membendung jangkitan Covid-19 jika kerajaan mengamalkan pilih kasih.
“Walaupun larangan perhimpunan fizikal dan majlis sosial berkaitan PRN Melaka berkuatkuasa 25 Oktober hingga 27 November, beberapa pemimpin parti politik kerajaan dilihat bertemu orang ramai di Melaka sejak beberapa hari lalu.
“Antara mereka adalah Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, yang terlibat dalam program ramah mesra bersama rakyat - melanggar larangan KKM?
“Jika Najib Razak dibolehkan melanggar larangan atau melawat perkampungan nelayan di Tanjung Kling dan pasar basah di Melaka, serta Muhyiddin dibiarkan begitu sahaja melawat Gerai Prihatin Rakyat anjuran Bersatu di Melaka, jadi apa perlunya larangan KKM di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kalau bukan untuk menghalang kempen pilihan raya pembangkang?” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam satu kenyataan hari ini.
Lim seterusnya menggesa KKM mengambil tindakan terhadap Najib dan Muhyiddin, atau mansuhkan saja larangan jika gagal berbuat demikian.
“Ambil tindakan atau batalkan saja larangan serta adakan perbicangan dengan semua parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih disamping mencegah penularan Covid-19,” katanya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin minggu lalu berkata semua aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November.
Larangan itu dikeluarkan demi kesihatan awam, bagi mengelakkan risiko gelombang baharu Covid-19, katanya.
Bercakap kepada pemberita di Melaka semalam, Najib berkata kebetulan sedang bercuti di negeri itu beliau mengambil peluang untuk beramah mesra dengan penduduk.
Kebetulan juga katanya beliau ke Melaka atas jemputan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad. Najib dijadual pulang ke Kuala Lumpur selepas dua hari berada di Melaka. – 31 Oktober, 2021.
Komen