PAS gesa politik Islam diperkasa menerusi majoriti Parlimen


Amin Iskandar

PAS mahu umat Islam memperkasakan politik Islam dengan majoriti di Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2017.

SELEPAS  “menceraikan” PKR minggu lalu, PAS hari ini menggesa kuasa politik Islam di negara ini dikembalikan dengan memastikan pemimpin Muslim menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, umat Islam di Malaysia perlulah bangkit daripada “lena yang panjang” dan bersatu bagi memastikan “maruah” mereka dikembalikan.

Katanya, walaupun Islam merupakan agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia merupakan Muslim, mereka masih lagi lemah di negara sendiri.

“Kuasa politik Islam wajib diperkasa. Suara Islam mestilah dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Walaupun pemimpin utama negara beragama Islam. Tapi umat Islam masih lemah dalam jumlah mereka yang ramai, hina di hadapan kaum bangsa sendiri, bangsat di atas tanahair sendiri,” kata ahli Parlimen Temerloh itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas pilihan raya 2008 gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) hilang penguasaan majoriti dua pertiganya di Parlimen.

Minggu lalu PAS mengesahkan untuk memutuskan kerjasama politik mereka dengan PKR yang sudah terjalin semenjak 1999.

Hari ini, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan berkata, ia bukanlah satu kebetulan PAS memutuskan hubungannya dengan PKR ketika parti Islam itu sedang “bermesra” dengan Umno.

Anwar berkata, sikap PAS terhadap PKR mula berubah selepas mereka membuat keputusan untuk tidak membantah Bajet 2017 yang dibentangkan Presiden Umno Najib Razak.

“Keputusan PAS itu mengejutkan dan mengecewakan tetapi kami akan terima. PKR tidak perlu taksub dengan keputusan itu,” katanya dalam satu pesanan khas dibacakan Nurul Izzah Anwar pada Kongres Tahunan PKR di Shah Alam pagi ini.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata, PAS memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN) dengan pertembungan tiga penjuru.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan PAS untuk “bergerak sendiri” dan “membentuk pakatan dengan kumpulan lain” dilihat seperti “membantu BN”.  – 21 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen