Perhilitan Sabah siasat dakwaan salah laku pegawai veterinar


Raevathi Supramaniam

Siasatan ke atas dakwaan gangguan seksual dan penyelewengan oleh pegawai kanan di Perhilitan Sabah masih diteruskan, kata pengarahnya Augustin Tuuga. – Gambar Facebook, 11 November, 2021.

SIASATAN ke atas dakwaan gangguan seksual dan penyelewengan oleh pegawai kanan di Jabatan Hidupan Liar (Perhilitan) Sabah bermula minggu lalu, kata pengarahnya Augustine Tuuga. 

Beliau memberitahu The Malaysian Insight siasatan itu dijalankan pihak ketiga dari luar jabatan, namun enggan menamakan siapa yang dilantik. 

“Kita tidak lakukan dalam jabatan, pihak ketiga yang jalankan siasatan,” katanya. 

“Kami tidak pasti bila siasatan akan selepas, bergantung kepada perkembangan jabatan lain.”

Memandangkan siasatan masih dijalankan, Tuuga berkata Nathan masih kekal bekerja di Jabatan Hidupan Liar Sabah. 

“Dia adalah pegawai veterinar, dia menjaga haiwan.”

Untuk Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah (WRU), Tuuga berkata seorang pegawai kanan dalam WRU akan mengambil alih tugas Nathan. 

Dua minggu lalu, 31 organisasi masyarakat sivil dan 289 individu membuat kenyataan bersama bagi menggesa siasatan dijalankan ke atas bekas pengurus WRU Dr Senthilvel KSS Nathan.

Nathan sebelum ini digugurkan dari jawatannya di WRU susulan satu posting di Facebook yang mana beliau mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pekerja wanita. 
 
Tindakan itu menyebabkan Nathan digugurkan dari WRU yang merupakan satu pasukan terdiri daripada 30 pegawai veterinar dan renjer. 

Nathan masih kekal sebagai penolong pengarah di Jabatan Hidupan Liar Sabah. 

Selepas itu, seorang bekas kakitangan WRU Carolina Zulueta mendedahkan di Facebook surat yang ditulisnya semasa peletakan jawatannya pada Julai 2019, memperincikan masalah di WRU dan salah laku Nathan yang mendakwa bahawa tingkah lakunya bukanlah sesuatu yang baru.

Zulueta yang merupakan seorang warga Mexico mendakwa Nathan sering membuat komen lucah kepada rakan sekerja wanitanya dan memaksa mereka menghantar swafoto setiap pagi.

Dia turut mendakwa takut dengan Nathan ketika bekerja di Perhilitan dan sentiasa akur dengan arahannya. – 11 November, 2021.

 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen