Siasat pegawai Perhilitan Sabah lakukan gangguan seksual, desak persatuan sivil


Raevathi Supramaniam

Seorang pegawai kanan di WRU, Perhilitan Sabah memuat naik gambar di Facebook menggambarkan kakitangan wanita secara biadap iaitu “bitch” dan mencetuskan kemarahan ramai. – Gambar Facebook, 24 Oktober, 2021.

SEORANG pegawai kanan di Jabatan Hidupan Liar (Perhilitan) Sabah yang berdepan tuduhan salah laku seksual dan penyelewengan dana perlu disiasat, dan bukan hanya dipindah keluar dari unit lamanya, kata kumpulan pertubuhan sivil.

Mereka berkata sekadar mengeluarkan seorang individu daripada jawatannya di Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah (WRU) tidak cukup kerana beliau masih kakitangan jabatan itu dan memegang jawatan yang berkuasa.

“Walaupun mengeluarkannya daripada jawatan di WRU adalah tindakan yang bagus, tetapi kita tidak tahu apa lagi sebenarnya yang mereka lakukan,” kata Sabrina Aripen dari Society for Equality, Respect And Trust for All Sabah (Serata) kepada The Malaysian Insight.

Sebanyak 31 organisasi persatuan sivil dan 289 individu mengeluarkan kenyataan bersama mendesak satu siasatan dibuat terhadap individu berkenaan.

Individu itu dinamakan sebagai bekas pengurus WRU Dr Senthilvel KSS Nathan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Arifin yang berkata tindakan diambil pada 20 Oktober, sehari selepas individu itu menerusi satu kapsyen melabel tiga kakitangan perempuan di jabatannya sebagai “bitch” dalam posting di Facebook, di mana kemudian ia dipadam.

Pada hari sama hantaran itu dibuat, bekas staf WRU Carolina Zulueta turut memuat naik sepucuk surat ditulisnya ketika meletak jawatan pada Julai 2019 kepada Pengarah Perhilitan Augustine Tuuga, memperincikan masalah di WRU dan dakwaan salah laku Nathan.

Susulan pendedahan itu, Tuuga memberitahu Borneo Post Nathan dipindahkan dari jawatannya di WRU tetapi masih di Perhilitan sebagai penolong pengarah.

“Pertama sekali mereka perlu memecatnya daripada jawatan. Walaupun beliau bukan lagi di WRU, beliau masih dengan Perhilitan. Ini bermakna beliau tidak dipecat.

“Ketidakseimbangan kuasa yang wujud dalam WRU adalah satu lagi sebab mengapa isu ini tenggelam dalam tempoh yang lama,” kata Sabrina.

Cherlanne Patrick daripada CSO Platform for Reform cawangan Sabah berkata tuduhan dan reaksi pihak berkuasa menunjukkan ada keperluan segera untuk rang undang-undang gangguan seksual dibentangkan di Parlimen.

“Masalah gangguan seksual bukan terhad di WRU saja, tetapi ramai di luar sana di organisasi berbeza yang berkongsi pengalaman sikap biadap di tempat kerja.

“Jika ada RUU gangguan seksual, individu seperti ini tidak akan terlepas dengan hanya hukuman terlalu kecil,” katanya.

Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam) mendesak RUU Gangguang Seksual diperkenalkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Di Malaysia pada masa ini, gangguan seksual disenaraikan di bawah Akta Pekerjaan, yang berkaitan gangguan seksual di tempat kerja.

Bulan lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berkata RUU Anti Gangguan Seksual sedang dirangka dan akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Sabrina dan Cherlanne bersetuju dalam kalangan wanita Sabah, wujud sikap tidak endah bila berdepan jenaka tentang seksis dan rogol.

“Ramai wanita Sabah yang leka. Mereka ketawa dengar jenaka rogol. Kita boleh salahkan mereka sepenuhnya, itu cara mereka dibesarkan. Perlu ada pendidikan dalam kalangan kumpulan ini,” kata Sabrina.

Kerjaya impian musnah

Zulueta baru berusia 24 tahun ketika tamat pengajian di kolej veterinary di Mexico ketika beliau tiba di Sabah untuk memulakan tugas impiannya.

Bercakap kepada The Malaysian Insight dari rumahnya di Mexico, Zulueta menangis apabila mengenang pengalamannya di WRU dan mendakwa Nathan mengendalikan tempat kerja itu dengan teruk di mana wanita diganggu secara lisan dan staf lain seperti renjer dibuli.

Beliau bekerja di WRU selama 10 bulan, dari September 2018 hingga June 2019.

“Ada dinamik yang pelik di pejabat itu. Semua orang cuba menggembirakan beliau kerana itu buat hidup anda lebih muda,” kata Zulueta.

Ketika berada di snaa, Zulueta berkata beliau salah seorang daripada empat wanita bekerja di WRU sementara 18 renjer lagi, semua lelaki.

Semua wanita di situ selalu bercakap tentang perangan Nathan sesame mereka tetapi tidak berani melawannya kerana mereka takut menerima akibatnya. – 24 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen