Malaysia kini boleh lihat cahaya di hujung terowong, kata Muhyiddin


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia kini sudah boleh nampak cahaya di hujung terowong selepas kejayaan kerajaan partinya Perikatan Nasional menguruskan pandemik dengan jayanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2021.

TERIMA kasih Perikatan Nasional (PN), kini rakyat Malaysia sudah boleh lihat cahaya di hujung terowong, kata Muhyiddin Yassin.

“Proses pemulihan negara tidak berlaku dalam sehari dua. Alhamdulillah hari ini rakyat mula melihat cahaya di hujung terowong hasil kejayaan kerajaan PN menguruskan Covid-19 lebih setahun lalu disamping program vaksinasi yang kita laksanakan mulai Februari tahun ini, kes posifitf Covid-19 semakin berkurangan,” kata bekas perdana menteri ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh berkata, tanda-tanda itu sangat memberangsangkan memandangkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 semakin berkurangan.

“Ekoran daripada strategi vaksinasi yang mantap, Malaysia muncul sebagai antara negara yang mencatatkan imunisasi tertinggi di dunia dengan lebih 95.9 peratus populasi dewasanya telah divaksin sepenuhnya dan sehingga kini hampir 70 peratus remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksin dengan 83 peratus daripada mereka telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Hasilnya hari ini sektor pendidikan telah dibuka semula dengan sesi persekolahan dan pengajian anak-anak kita telah pun dimulakan secara berperingkat.

“Di samping itu sektor ekonomi dan sosial telah beroperasi semula dan insyallah sektor pelancongan juga akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negeri dan negara kita tidak lama lagi,” kata Muhyiddi yang juga presiden Bersatu.

Pada 1 Mac 2020 semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, jumlah kes Covid-19 di Malaysia ialah 29 dengan tanpa kematian.

Pada hari terakhir beliau pegang jawatan iaitu 16 Ogos, jumlah kes keseluruhan mencecah 1.4 juta dengan 12,784 kematian. Setakat semalam (9 November), jumlah kematian Covid-19 berjumlah 29,349.

Berkaitan Bajet 2022, Muhyiddin berkata ia adalah kesinambungan usaha dan inisiatif PN yang bermula pada Mac 2020.

“Ini termasuk lapan pakej rangsangan ekonomi yang disasarkan untuk membantu negara pulih daripada pandemik Covid-19.”

Berikutan pandemik, pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang bertaraf menteri berkata kini tidak dapat dinafikan kerajaan perlu menambah baik sistem penjagaan kesihatan.

“Semasa saya jadi perdana menteri, saya telah cadangkan Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan,” kata Muhyiddin. – 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen