KERAJAAN tidak sepatutnya memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang menghalang kempen namun perlu ada SOP untuk pastikan keselamatan orang ramai daripada jangkitan Covid-19, kata Oscar Ling.
“SOP yang diperkenalkan untuk pilihan raya Melaka adalah tidak adil untuk parti baharu dan pembangkang kerana mereka tiada akses untuk media arus perdana seperti televisyen,” kata ahli Parlimen Sibu ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata SOP pilihan raya di Melaka bertentangan dengan demokrasi kerana pembangkang dan parti baharu tidak boleh berkempen dengan berkesan.
“Tambahan pula jika SOP sama akan digunakan pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.
“Tidak seperti Melaka, Sarawak sangat besar dengan kawasan luas di pedalaman yang langsung tiada akses internet. Kami hanya boleh berkempen secara fizikal untuk perkenalkan diri dan dasar kami,” kata wakil rakyat DAP itu.
Ling mengulas mengenai SOP pilihan raya yang diumumkan selepas penamaan calon di Melaka.
Menurut SOP baharu, hanya berkempen dengan pembesar suara dari kenderaan sahaja dibenarkan pada pilihan raya Melaka.
Ini bermakna ceramah, atau aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi serta aktiviti walkabout adalah dilarang.
Mengenai penggunaan pembesar suara dari kenderaan, ia hanya boleh dibuat selepas calon mendapat permit polis.
Bagi mengelakkan orang ramai berhimpun, kenderaan tidak dibenarkan berhenti sepanjang laluannya. – 8 November, 2021.
Komen