SATU-SATUNYA bentuk kempen fizikal yang dibenarkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka adalah dengan menggunakan pembesar suara dari kenderaan pada waktu yang ditetapkan dan dengan izin polis, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peraturan ini tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 semasa berkempen, yang bermula hari ini dengan penamaan calon. Pengundian adalah pada 20 November.
SPR berkata SOP yang diluluskan Kementerian Kesihatan semalam melarang sebarang bentuk perhimpunan fizikal.
Ini bermakna ceramah, atau aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi serta aktiviti walkabout adalah dilarang.
“Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial,” kata SPR dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai penggunaan pembesar suara dari kenderaan, ia hanya boleh dibuat selepas calon mendapat permit polis.
Bagi mengelakkan orang ramai berhimpun, kenderaan tidak dibenarkan berhenti sepanjang laluannya.
“Kenderaan yang dipasang dengan pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah,” kata SPR menambah butiran lanjut mengenai SOP boleh diperoleh di portal spr.gov.my
Calon yang melanggar peraturan ini tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tambah kenyataan itu.
Ini adalah kali pertama pilihan raya diadakan selepas lapan bulan negara diletakkan di bawah perintah Darurat untuk mengekang pandemik Covid-19.
Ia juga kali pertama bentuk kempen fizikal konvensional - ceramah setiap malam, ziarah rumah, jelajah mesra ke pasar dan kedai kopi - dilarang, mengurangkan penampakan calon dan parti selain membuatkan ramai tertanya-tanya adakah peratusan keluar mengundi akan terjejas.
SOP lain untuk PRN Melaka menetapkan calon dan parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan bagi setiap kerusi. Bilik gerakan yang lebih kecil atau tempat berkumpul untuk jentera pilihan raya parti tidak dibenarkan.
SPR juga berkata terdapat SOP bagaimana pegawainya menjalankan kerja menyemak kertas undi, peti undi, prosedur pada hari pengundian, dan semasa mengira undi.
Terdapat 28 kerusi negeri dipertandingkan dalam PRN Melaka, dan SPR mempunyai pasukan penguat kuasa di setiap kerusi, tambahnya.
Semua kempen perlu dihentikan pada 11.59 malam pada 19 November. – 8 November, 2021.
Komen