Pemimpin akar umbi ramal peratusan keluar mengundi PRN Melaka merosot


Noel Achariam Mohd Farhan Darwis

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober selepas empat Adun termasuk Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.  

LARANGAN mengadakan perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjejaskan kempen dan mempengaruhi peratusan keluar mengundi, menurut penganalisis politik dan pemimpin akar umbi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata aktiviti kempen pilihan raya mampu menaikkan keterujaan pengundi, namun tanpa perhimpunan atau ceramah seperti yang lazim diadakan sebelum ini jumlah peratusan keluar mengundi mungkin akan terjejas.

“Kalau dibayangkan tidak boleh berkempen, kemudian dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), saya bayangkan tidak akan ada lonjakan ketara peratusan keluar mengundi.

“Unjuran Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu 70% terlalu rendah, agak rendah. 

“Tetapi melalui pra-kajian (sentimen pengundi) kami, ternyata majoriti semua kaum tidak menyenangi dengan PRN ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali. 

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Tinjauan Ilham Centre mendapati pengundi Cina paling ramai tidak setuju PRN diadakan.

“Segmen yang akan terkesan adalah pengundi bukan Melayu dan pengundi luar. Dua segmen ini mereka tak galakkan anak bekerja di luar Melaka balik mengundi atas faktor kerisauan penularan pandemik Covid-19.

“Rata-rata berikan alasan PRN ini mampu lonjakkan Covid-19,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan semua aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November.

Larangan itu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19, ketika ada kebimbangan kesan sama seperti selepas PRN Sabah pada hujung September 2020.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata majoriti semua kaum di Melaka tidak menyenangi PRN diadakan ketika pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.

Bimbang risiko jangkitan Covid-19

Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Masjid Tanah Husin Abd Kadir juga tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi akan jauh lebih kurang berbanding pilihan raya lalu.

“Menang atau kalah belum tahu tapi kami dah bersedia. 

“Dengan Covid-19 ini siapa nak keluar mengundi, silap-silap orang Umno dan PAS pun tak keluar,” katanya.

Beliau meramalkan paling tidak hanya 40% pengundi akan keluar mengundi.

“Yang akan mengundi ialah ahli jawatankuasa parti yang bekerja sahaja. Saya percaya ahli tak akan keluar sebab risiko. Mereka (ahli politik) yang nak bermaharajalela kenapa kita nak kena mati.”

Bagi Timbalan Ketua Bahagian Umno Bukit Salleh Mohd Hazreen Hamzah pula berkata rata-rata penduduk Melaka yang ditemui enggan keluar mengundi ketika kes Covid-19 masih tinggi.

“Semua orang takut. Pandai-pandailah pucuk pimpinan nak buat macam mana. Sibuk musim Covid-19 nak buat pilihan raya.

“Orang-orang tua yang ada penyakit tiga serangkai ini semua tak nak keluar sedangkan mereka inilah penyokong tegar Umno. Kalau mereka tak keluar, mana kita nak dapat undi?” kata Hazreen kepada The Malaysian Insight.

Keadaan ini juga katanya akan menyukarkan Umno untuk memenangi kerusi luar bandar lebih-lebih lagi apabila sokongan orang Melayu kini berpecah dua kepada parti itu dan Bersatu.

“Kerjasama dengan PAS akar umbi terima sahaja, dengan Bersatu ini masalah sikit, PAU (Perhimpunan Agung Umno) dah tolak kerjasama dengan Bersatu, tengok pucuk pimpinan kita nanti macam mana. Kalau kata lawan kita lawan,” ujarnya. – 4 November, 2021.  

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen