MELAKA sepatutnya menjadi medan ujian kerjasama tiga parti Melayu – PAS, Umno dan Bersatu – menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pemimpin akar umbi PAS.
Penganalisis politik bagaimanapun melihat pilihan raya negeri (PRN) 20 November ini bukan medan ujian sebenar kerjasama itu kerana PAS tidak mempunyai kekuatan di Melaka.
Pemimpin akar umbi PAS percaya PRN Melaka akan menyedarkan Umno betapa penyatuan tiga parti Melayu itu sangat diperlukan untuk mereka menang dan menyekat Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan semula.
Bendahari PAS Machang Abdul Ariff Fahmi Ab Rahman yakin PRN Melaka akan menunjukkan kepada Umno sama ada ia masih memerlukan Ahmad Zahid Hamidi atau tidak sebagai presiden parti.
“Saya rasa Melaka kita kena berterima kasih kepada takdir kerana ia berlaku sebelum PRU15. PRN Melaka akan tunjuk siapa yang diperlukan.
“Kalau Umno kena mula gerakan dari bawah buang Zahid dan ganti pemimpin yang boleh menerima kerjasama dan lebih fleksibel maka mereka kena buat,” katanya, mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bertanding di semua 28 kerusi dalam pilihan raya negeri.
Pertembungan tiga penjuru disertai PH akan menyaksikan PAS berlawan dengan Umno di tujuh kerusi sementara Umno bersaing dengan Bersatu di 12 kerusi.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, pertembungan itu sepatutnya boleh dielak namun Umno yang memilih tidak mahu bekerjasama dengan PN di Melaka walaupun kerjasama itu ada untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.
Bercakap pada sidang media, Muhyiddin berkata, pertembungan itu sebetulnya boleh dielak namun Umno sendiri yang memilih tidak mahu bekerjasama dengan PN walaupun kedua-dua parti itu sebahagian daripada kerajaan persekutuan.
Sementara itu, penolong setiausaha PAS Terengganu Hanafiah Mat berkata, ahli dan penyokong PAS tidak keliru dengan pendirian parti untuk bersama dengan Bersatu dalam PN kerana mereka akur dengan keputusan pimpinan parti.
“Kalau pimpinan kata kita ke kanan, kita ke kanan; kalau ke kiri, kita ke kiri.
“Kita melihat yang sedang keliru ini kepimpinan yang di luar parti (PAS), dan yang ini kita tampil menjadi orang tengah untuk selesaikan,” katanya, yang juga exco kerajaan Terengganu.
Semasa berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-67 pada Sabtu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan PAS akan menyokong PN jika berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu.
Beliau juga mengingatkan PAS tidak boleh terikat dengan sebarang kerjasama kerana parti Islam itu bukan lagi penumpang dalam politik Malaysia tetapi penentu kerajaan selepas pilihan raya.

Masih awal
Dalam pada itu, pensyarah politik Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berpendapat masih terlalu awal untuk membaca hala tuju PAS jika hanya berdasarkan PRN Melaka.
Ia kekal dengan PN untuk bertanding di Melaka kerana negeri itu pun bukan kubu kuat PAS, katanya.
“Apa saja keputusannya, ia mungkin tidak benar-benar menentukan hala tuju masa depan PAS,” katanya.
Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga percaya PAS mungkin akan cuba untuk kembali bersama Umno atas nama penyatuan Melayu-Islam.
“Itu akan bergantung kepada sama ada Umno sanggup mengambil PAS sebagai sekutunya.
“Kedua-dua parti itu mempunyai kubu kuat tradisional dan boleh wujud bersama dengan mudah. Bersatu pula lemah, dan memerlukan PAS untuk membantunya mendapatkan undi Melayu,” katanya.
Pensyarah Pengajian Asia di Universiti Tasmania James Chin berkata, PAS hanya boleh menjadi parti penentu apabila undi Melayu berpecah antara Umno dan Bersatu.
“Hadi pada dasarnya cuba melindungi kepentingan PAS dengan kedua-dua parti ini. Beliau cuba melonjakkan PAS untuk jadi lebih besar daripada yang sebenarnya, ke peringkat nasional.
“Hakikatnya kalau kita lihat trend pengundian terhadap PAS, mereka tidak boleh lari daripada kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Chin melihat ucapan Abdul Hadi di muktamar hujung minggu lalu hanya bertujuan menaikkan semangat ahli partinya untuk merasakan parti mereka penting, sedang parti itu bukan pilihan dalam kalangan Melayu di bandar dan juga bukan Melayu.
Jelas beliau, masa depan PAS bergantung kepada undi Melayu.
“Kalau undi Melayu berpecah, PAS untung. Kalau tidak berpecah, PAS akan rugi,” katanya. – 7 November, 2021.
Komen