PAS bukan lagi penumpang politik negara, kata Hadi


Diyana Ibrahim Aminah Farid

PAS tidak lagi boleh dikurung dalam permuafakatan tertutup dalam lingkungan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

PAS bukan lagi hanya penumpang dalam politik Malaysia sebaliknya harus jadi penentu kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya akan datang, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

Untuk itu, PAS tidak boleh “dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan”, katanya kepada perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Jelas Abdul Hadi, keputusan dan hala tuju politik PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-15 nanti akan ditentukan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya, dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin,” katanya, menyampaikan ucapan dasar presiden.

Muktamar tahunan PAS kali ini, yang berlangsung secara fizikal dan dalam talian, dianggap yang terakhir sebelum PRU15.

Pada masa sama Abdul Hadi berkata PAS menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran politik baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan.

“Secara tegas, dinyatakan bahawa kita baru saja menubuhkan MN mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut piagam yang terbuka bukan tertutup.

“Dalam pada itu kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat sehingga berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.

“Maka sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau mahluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya. – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen