PAS sokong Perikatan kalau Bersatu tembung Umno, kata Hadi


Diyana Ibrahim Aminah Farid

PAS akan menyokong Perikatan Nasional jika berlaku pertembungan kerusi antara Bersatu dengan Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – Gambar The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

PAS akan menyokong Perikatan Nasional (PN) sekiranya berlaku pertembungan kerusi antara Bersatu dengan Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS tegas dalam soal sokongannya jika Umno dan BN enggan bersama PN.

“Kita menyokong PN, jika ada kerusi penyandang milik Umno pun kita tengok Umno pakai simbol apa.

“Kita dah beri amanat kepada  jentera di Melaka untuk mendukong PN dan PAS pakai logo PN,” katanya, pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasarnya di Muktamar Tahunan ke 67 di Kuala Terengganu.

Abdul Hadi mengulas pengumuman BN hari ini bertanding semua 28 kerusi di PRN Melaka, yang penamaan calonnya ditetapkan Isnin ini.

Tambah Abdul Hadi, PAS tidak boleh berbuat apa jika BN dan Umno tidak mahu bersama dengan PN namun sedia maklum mengenai tindakan parti Melayu itu yang mahu bertanding semua kerusi.

Ujarnya lagi PN akan mengumumkan mereka  petang ini dan PAS akan mempertaruhkan sembilan calon dalam PRN Melaka.

The Malaysian Insight difahamkan Bersatu akan bertanding 15 kerusi sementara Gerakan 4.

“KIta akan umumkan petang ini dan sekurangnya kita letak satu pertiga calon PAS dalam PRN Melaka,” katanya.

Awal hari ini, BN memutuskan untuk bergerak sendiri pada PRN Melaka dengan bertanding di kesemua 28 kerusi.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA di tujuh kerusi dan MIC satu kerusi.

Mohamad mengulangi pendirian BN untuk bergerak sendiri dan tidak menyertai mana-mana kerjasama politik lain. – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen