BN berjuang sendiri di Melaka, kata Tok Mat


Noel Achariam

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan yang mengumumkan perkara itu di majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

BARISAN Nasional memutuskan untuk bergerak sendiri pada Pilihan Raya Negeri Melaka dengan bertanding di kesemua 28 kerusi.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA di tujuh kerusi dan MIC di satu kerusi.

Beliau turut mengulangi pendirian BN untuk bergerak sendiri dan tidak menyertai mana-mana kerjasama politik lain.

“Ada 86% muka baharu dan hanya empat calon yang akan kembali bertanding. Kali terakhir kita tidak ada 50% pun muka baharu.”

Menurutnya 28% calon adalah mereka yang berusia bawah 45 tahun.

“Lima calon adalah wanita, empat daripada Umno dan seorang daripada MCA,” katanya pada majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad berkata semua calon akan menandatangani perjanjian untuk tidak melompat parti atau mereka akan berdepan tindakan undang-undang.

Tambahnya, calon perlu menandatangani beberapa perjanjian untuk menyatakan sokongan kepada BN.

“Akan ada tindakan undang-undang berdasarkan tindakan mereka (meninggalkan BN).

“Saya harap komitmen ini (oleh calon) akan memberikan rakyat keyakinan untuk memilih parti yang komited memastikan kestabilan di Melaka.”

Katanya lagi, tema BN untuk PRN Melaka adalah “Kestabilan Demi Kemakmuran”.

“Kita mahukan kestabilan selepas pilihan raya, supaya kepentingan rakyat terjaga.

“Jadi rakyat perlu memberikan kepercayaan kepada parti yang boleh membawa kestabilan selepas pilihan raya.”

Pada 5 Oktober lepas, empat orang Adun mengumumkan penarikan sokongan kepada kerajaan negeri Melaka diketuai Sulaiman Md Ali, yang menyebabkan pembubaran DUN, seterusnya pilihan raya perlu diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon dengan pembuangan undi dijadualkan berlangsung pada 20 November.

Empat Adun tersebut ialah Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu). – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen