PKR, Amanah minat 2 Adun punca kerajaan Melaka jatuh, kata Anwar


Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata keputusan mengangkat mereka sebagai Adun kembali bagaimanapun terletak pada tangan rakyat dalam pilihan raya negeri Melaka nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2021.

PKR dan Amanah berminat untuk ambil dua daripada empat Adun yang menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di Melaka, kata Anwar Ibrahim.

“Daripada empat (bekas Adun itu), setakat yang saya faham, PKR akan pilih satu dan Amanah pilih satu. Ini akan dimuktamadkan lewat malam ini atau pagi esok,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu pada sidang media dalam talian malam ini.

Beliau berkata keputusan itu akan diumumkan pagi esok.

Presiden PKR itu berkata, beliau faham dan terima kritikan terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana mengambil dua daripada empat Adun itu.

Bagaimanapun Anwar berkata ianya tidak sama seperti ahli politik lain yang mengkhianati parti mereka.

“Ia tak sama dengan orang khianati amanah dalam pilihan raya. Pilihan raya (rakyat) beri mandat kepada PH. Mereka (Adun itu) berundur daripada parti mereka untuk mengembalikan mandat kepada PH.

“Di sini, soal lompat parti tidak timbul memandangkan DUN sudah pun dibubarkan,” kata Anwar.

Beliau berkata walaupun PKR dan Amanah meletakkan dua Adun tersebut bertanding, namun ia masih terletak pada tangan pengundi untuk buat keputusan. Tambah Anwar, perkara itu dibuat di peringkat negeri.

“Rundingan (dengan Adun itu) dibuat oleh kepimpinan Melaka, bukan pusat. Tetapi mereka jelaskan kemudiannya, walaupun ada beberapa keraguan, kami terima keputusan mereka,” kata Anwar.

PKR dan Amanah mendapat kecaman baru-baru ini kerana mahu meletakkan dua daripada empat Adun yang menyebabkan kejatuhan kerajaan BN Melaka bulan lepas.

Isu itu diburukkan lagi apabila DAP berkata mereka tidak akan terima dua Adun tersebut. Salah seorang daripada mereka dipercayai bekas Adun DAP Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee yang keluar parti tahun lepas dan punca jatuhnya kerajaan PH di negeri itu.

Walaupun PKR mahupun Amanah tidak menyatakan siapa yang mereka mahu, seorang daripada mereka dipercayai bekas ketua menteri Melaka Idris Haron.

Bekas pemimpin Umno itu dipercayai mengetuai rundingan untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Dua lagi Adun yang menyebabkan kerajaan BN tumbang ialah Nor Azman Hassan dan Noor Effendi Ahmad. – 5 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen