Hartal Doktor Kontrak kecewa taktik Putrajaya tangguh jawatan tetap


Ravin Palanisamy

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak berkata cadangan pemberian kontrak dua hingga empat tahun diumumkan dalam Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sesuatu yang mengecewakan, bertentangan dengan tuntutan mereka yang mahukan pemberian dan jaminan jawatan tetap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

CADANGAN untuk sambung kontrak kira-kira 10,000 doktor tidak memuaskan kerana ia langkah untuk menunda nasib mereka yang mahukan jawatan tetap, kata kumpulan Hartal Doktor Kontrak.

Kumpulan itu berkata pengumuman Bajet 2022 hari ini bertentangan dengan apa yang mereka tuntut - jawatan tetap yang menjamin pekerjaan dan peluang untuk memajukan kerjaya untuk jadi pakar.

“Ia menunda penyelesaian (untuk) dua tahun lagi. Biar orang lain bimbang tentang itu,” kata kumpulan doktor kontrak itu di Twitter hari ini.

Dalam bajet yang dibentangkan hari ini, Putrajaya memperuntukkan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan, peruntukan kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

Sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

Beliau berkata tempoh perkhidmatan mereka selama dua tahun akan ditambah kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk pengajian kepakaran mereka.

Selain itu, beliau berkata kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

Pada Julai, kumpulan doktor kontrak yang bertugas di hospital kerajaan telah memulakan mogok #HartalDoktorKontrak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka berhubung kekurangan jawatan tetap untuk kira-kira 23,000 pegawai perubatan kontrak di seluruh negara.

Ahli Doktor Hartal Kontrak, Dr Omar, yang merupakan kumpulan pertama doktor yang ditawarkan jawatan kontrak berkata, cadangan bajet oleh kerajaan hanyalah satu lagi kekecewaan.

Beliau berkata cadangan itu tidak memberi petanda baik kepada doktor kontrak, mendakwa ia hanya akan merugikan negara pada masa hadapan.

“Bukan penyelesaian yang kita cari.

“Cadangan lanjutan daripada kerajaan akan menyebabkan kerosakan teruk, di mana doktor akan mula berpindah dari sektor kerajaan sama ada menyertai swasta atau pun berhijrah dari negara ini. Ia akan jadi kerugian besar kepada negara kita,” katanya.

Dr Omar berkata beliau akan menjadi doktor kontrak selama lima tahun bermula Disember tahun ini.

Beliau berkata kerajaan gagal menghargai bakat dan pengorbanan kumpulan doktor ketika ini.

Sementara itu, walaupun Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan kebanyakan bajet yang diumumkan Tengku Zafrul, namun mereka tidak bersetuju dengan penyelesaian yang diberikan kepada doktor perubatan kontrak.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata cadangan kerajaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan itu tidak memenuhi permintaan.

“Kami sudah minta lanjutan kontrak bagi pegawai perubatan kepada antara 7 dan 10 tahun.

“Bagaimanapun, lanjutan dua hingga empat tahun telah diberikan untuk memberi peluang kepada pegawai perubatan untuk mengkhususkan diri,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata MMA akan terus berhubung dengan kerajaan untuk membincangkan isu berkenaan.

Pun begitu, MMA menyambut baik cadangan lain yang dibuat oleh menteri kewangan hari ini, iaitu menyediakan peruntukan RM100 juta untuk penajaan kursus pengkhususan, yang akan memanfaatkan kira-kira 3,000 pegawai perubatan dan pergigian. – 29 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen