MESKI menerima peruntukan kedua terbesar dalam Bajet 2022, namun RM32.4 bilion untuk Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tahun depan hanya lebih sedikit berbanding yang diperuntukkan untuk tahun ini, kata Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.
Ketua eksekutifnya Azrul Mohd Khalib berkata jumlah itu hanya peningkatan sebanyak 1.6% berbanding peruntukan RM31.9 bilion bagi tahun ini.
“Kami kecewa kerana peruntukan untuk kesihatan bagi 2022 hanya naik sedikit berbanding untuk 2021.
“Peruntukan untuk kesihatan sepatutnya jauh lebih besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Peruntukan untuk Kementerian Kesihatan adalah kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan, seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19, Azrul berkata krisis kesihatan lain juga tidak boleh dipandang ringan.
“Krisis Covid-19 masih belum berakhir, tetapi kesan kesihatan sepanjang 22 bulan lalu (akibat pandemik) seperti masalah kesihatan mental serta penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan obesiti kian meningkat.
“Semua ini memerlukan rawatan dan penjagaan kesihatan. Negara bukan sahaja sedang mengalami krisis Covid-19,” jelasnya.
Beliau turut mengkritik peruntukan untuk kesihatan mental yang diumumkan hari ini.
“Peruntukan untuk penjagaan kesihatan yang penting ini (RM319.5 juta) masih lebih rendah berbanding yang diperuntukkan pada 2020 iaitu RM344 juta.
“Ia sepatunnya lebih besar bagi menangani kesan krisis Covid-19 seperti kemurungan, penyakit mental dan bunuh diri, kerana majoriti penduduk masih bergantung pada perkhidmatan yang diberi melalui sistem penjagaan kesihatan awam,” kata Azrul. – 29 Oktober, 2021.
Komen