Ahli Muda dikompaun RM4,000 langgar SOP pada sidang media 


Ravin Palanisamy

Setiausaha agung Muda Amira Aisya menerusi satu klip video berkata salah seorang ahli partinya dikenakan kompaun RM4,000 kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard pada sidang media hari ini.– Gambar Twitter, 27 Oktober, 2021.

SEORANG ahli Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) dikompaun RM4,000 oleh polis kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika sidang media yang diadakan di Melaka hari ini, kata setiausaha agung parti Amira Aisya.

Sidang media itu diadakan bagi mengumumkan keputusan parti untuk bertanding pada pilihan raya negeri Melaka. 

Amira berkata mereka mematuhi semua SOP pada sidang media berkenaan namun mendakwa ahli parti berkenaan tetap dipanggil ke balai polis dan dikenakan kompaun. Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu terbabit. 

“Kami memastikan semua SOP dipatuhi dan kami juga mahu berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Kami mahu membuktikan bahawa Muda juga komited dalam mematuhi semua SOP untuk pilihan raya Melaka.

“Tapi selepas sidang media itu berakhir, salah seorang rakan Muda kami ditarik ke IPD dan telah dikompaun,” kata Amira dalam video yang dimuat naik di Twitter. 

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan sidang media di luar bangunan The Stadhuys hari ini bagi mengumumkan partinya akan bertanding pada pilihan raya Melaka,

Amira berkata mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengadakan sidang media berkenaan. 

Katanya hanya lima ahli Muda dan beberapa petugas media berada di kawasan berkenaan, yang merupakan kawasan terbuka, serta mendakwa mematuhi SOP sepanjang masa. 

“Semalam salah seorang anggota Muda sudah membuat panggilan kepada IPD dan bertanya sama ada kami boleh melakukan sidang media. 

“Kami diberitahu bahawa kami boleh menjalankan sidang media asalkan SOP kami jaga, tak ramai orang, asalkan menjaga jarak dan memakai pelitup muka. 

“Pada hari ini sebelum sidang media itu berlangsung juga kami berjumpa dengan penguatkuasa juga kami diberitahu benda yang sama. 

“Tapi selepas sidang media itu berakhir salah seorang rakan Muda kami dikenakan kompuan RM4,000,” katanya. 

Amira turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa mengamalkan sistem dua darjat dengan pemimpin Barisan Nasional termasuk Najib Razak yang bebas mengadakan ceramah besar-besaran. 

Parti belia itu masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan namun menyatakan keinginan mereka bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan pada pilihan raya itu.– 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen