PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang, kata presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.
Parti berasaskan anak muda itu masih menunggu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk meluluskan pendaftarannya tetapi menyatakan kesanggupannya untuk bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka.
Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata parti itu sedang berunding dengan PH mengenai peruntukan kerusi dan juga terma lain.
“Muda sudah membuat keputusan tegas untuk bertanding dalam PRN Melaka.
“Kami ingin meletakkan nama kami sebagai parti yang ingin bertanding bersama atas semangat blok pembangkang untuk membawa perubahan.
“(Mengenai peruntukan kerusi) perkara itu akan dibincangkan bersama blok pembangkang dan akan diumumkan kemudian,” kata bekas menteri belia dan sukan itu pada sidang media di Melaka hari ini.
Ketika ditanya sama ada mereka akan menggunakan logo PH, Syed Saddiq berkata perkara itu masih dalam perbincangan.
“Saya dimaklumkan PH juga sedang membincangkan apakah logo terbaik untuk digunakan dalam PRN,” katanya.
Permohonan Muda untuk didaftarkan sebagai parti politik ditolak oleh RoS buat kali kedua pada Ogos tahun ini.
Pada September, Syed Saddiq dan 12 yang lain mendapat kebenaran memulakan prosiding undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri dan RoS kerana menolak rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.
Syed Saddiq berkata mereka menggariskan beberapa kriteria penting untuk menyertai pembangkang pada pilihan raya, termasuk fokus kepada politik berbilang kaum, politik sederhana, politik berasaskan dasar dan politik perkhidmatan.
“Kita menolak ‘katak’ politik, ahli politik yang tidak berintegriti, dan mereka yang hanya mementingkan pangkat dan kedudukan sahaja,” katanya. – 27 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini
Komen