PARTI Kuasa Rakyat (Kuasa) yang memperjuangkan golongan tertindas melalui falsafah “Marhaenisme” telah merekrut 70,000 ahli dan akan mencapai sasaran 100,000 ahli, kata presiden Kamarazaman Yaakob.
Kamarazaman semasa pelancarannya berkata falsafah Marhaenismenya berasal daripada istilah Marhean yang merujuk kepada golongan miskin dan mengangkat golongan miskin serta memperjuangkan hak mereka sebagai teras perjuangannya.
Abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu menyifatkan sambutan orang ramai terhadap partinya sebagai luar biasa.
“Saya boleh katakan ia ‘luar biasa’. Dari semua lapisan masyarakat berkongsi idea kami dan telah mendaftar. Belia, termasuk orang yang tidak menyertai mana-mana parti politik, memutuskan untuk jadi sebahagian daripada kami.
“Ia adalah ‘ancaman’ kepada parti sedia ada jika mereka lihat keadaan kita sekarang. Kita ada 70,000 ahli di seluruh negara dan sasaran kita untuk capai 100,000 ahli dalam masa 100 hari.
“Nampaknya kita boleh capai sasaran lebih awal lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kuasa telah dilancarkan secara rasmi pada 10 Oktober lepas di Kuala Lumpur.
Seorang sosialis yang teguh pada zaman mudanya, Kamarazaman terkenal dengan penglibatannya dalam banyak gerakan antigolongan berkuasa semasa menjadi pelajar di Universiti Malaya.
Dalam ucapan sulungnya, Kamarazaman menekankan Kuasa akan berusaha untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menggantikannya dengan biasiswa untuk B40 dan M40.

Dalam ucapan ala Fidel Castro, Kamarazaman berjanji parti baharu itu akan memberikan autonomi kepada ahli dari Sabah dan Sarawak.
Ditanya mengenai status partinya, Kamarazaman berkata, rundingan antara partinya dengan parti sedia ada sedang berlangsung dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan berlangsung tidak lama lagi.
Kamarazaman bagaimanapun tidak mendedahkan parti mana yang akan diambil alihnya.
“Pihak satu lagi sudah bersetuju untuk serahkan parti mereka kepada kita, nama akan bertukar begitu juga dengan kepimpinan. Semuanya sedang berjalan. Kita perlu adakan EGM sebelum semua dapat dimuktamadkan. EGM akan diadakan dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.
Kamarazaman juga berkata beliau tidak sepenuhnya risau untuk mendaftarkan partinya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Beliau menjelaskan keadaan partinya sangat berbeza dengan Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) – parti yang diketuai bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman – yang masih belum mendapat kelulusan RoS.
“Muda memperjuangkan pendaftarannya tetapi, bagi kami, kami telah capai persefahaman dengan badan politik untuk tukar nama, termasuk kepimpinannya. Saya tidak perlu dedahkan nama parti di sini.”
“Kami akan… tukar nama parti lama kepada yang baharu dan… membentuk kepimpinan baharu. Kami tidak perlu daftar untuk menubuhkan parti baharu, tidak seperti Muda.”
Sebelum menceburi politik, Kamarazaman rapat dengan Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Rais dan Yunus Ali ketika menjadi aktivis mahasiswa di UM.
Kamarazaman telah ditahan bersama Anwar pada 1974 dalam demonstrasi Baling. Beliau dibebaskan dua tahun kemudian. – 27 Oktober, 2021.
Komen