Kamarazaman yakin tidak hadapi masalah daftar Kuasa


Alfian Z.M. Tahir

Presiden penaja Parti Kuasa Rakyat Kamarazaman Yaakob berbeza dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang belum mendapat kelulusan RoS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Oktober 2021.

PARTI Kuasa Rakyat (Kuasa) mungkin tidak perlu risau tentang pendaftarannya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata presiden penajanya Kamarazaman Yaakob.

Kamarazaman menjelaskan keadaan partinya sangat berbeza dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) – parti yang diasaskan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - yang belum mendapat kelulusan RoS.

“Muda memperjuangkan pendaftarannya tetapi bagi kami, kami telah mencapai persefahaman dengan badan politik untuk menukar namanya termasuk kepimpinannya. Saya tidak perlu mendedahkan nama parti itu di sini.”

“Kita bersama-sama akan menukar nama parti lama menjadi yang baru dan membentuk kepimpinan baru. Kita tidak perlu mendaftar untuk membentuk parti baru tidak seperti Muda,” katanya.

Pada Ogos lalu, Muda mengesahkan Kementerian Dalam Negeri menolak rayuannya untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden Muda Lim Wei Jiet mempersoalkan keputusan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Menurut Muda, surat yang ditandatangani Hamzah menyatakan bahawa di bawah kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355), rayuan untuk Muda didaftarkan tidak diluluskan.

Kamarazaman adalah abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau melancarkan parti barunya hari ini di Kuala Lumpur dan berjanji akan berjuang untuk orang miskin.

Menurut Kamarazaman atau lebih dikenali sebagai Bung Kamara, berkata parti itu juga akan terbuka untuk semua kaum termasuk rakyat Sarawak dan Sabah.

Ahli jawatankuasa penaja lain termasuk bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, ahli G25 Nik Abud Aziz Nik Hassan, Gabriel Walter, Mohamad Nasir Saludin, Hamzah Jaaffar, Anas Yusof Sulaiman, Sahandri Gani Hamzah, Helmi Ibrahim, Razali Abd Razak, Suharmili Rosle dan Ching Eu Boon. – 10 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen